CRM pintar berkuasa AI pertama di Malaysia

PETALING JAYA – MoneyX, sebuah platform penyelesaian perniagaan berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bersama Mandrill Tech Sdn Bhd, peneraju AI/ML tempatan dengan lebih 150 pakar, baru-baru ini melancarkan Net7, iaitu CRM Pintar berkuasa AI pertama di Malaysia.
Menurut kenyataan syarikat itu, Net7 dibina berasaskan kecerdasan kad perniagaan dengan perancangan untuk diperluaskan penggunaannya ke seluruh dunia.
Berbeza dengan aplikasi kenalan tradisional yang hanya menyimpan nombor telefon dan alamat e-mel, Net7 berfungsi menukar data kenalan mentah kepada profil perniagaan bermakna yang boleh dicari serta-merta, dikategorikan secara pintar dan diperkaya dengan pandangan berasaskan AI.
Aplikasi itu juga membolehkan pengguna mengimbas timbunan kad perniagaan atau mendapatkan semula kenalan lama, sekali gus memastikan tiada hubungan perniagaan yang terputus.
“Pertumbuhan perniagaan berlaku apabila hubungan dijalin dan dipupuk, bukan sekadar dikumpulkan,” jelas kenyataan itu.
Net7 direka untuk membantu profesional serta perusahaan mengurus, membina dan memperkukuh rangkaian perniagaan mereka. Daripada usahawan sehinggalah pasukan jualan berskala besar, platform ini memastikan setiap hubungan menjadi aset korporat yang selamat dan dimiliki syarikat.
Antara kelebihan utama Net7 ialah:
Sehingga 99 peratus kurang kerja kemasukan data manual, membolehkan pasukan jualan memberi tumpuan kepada penutupan jualan.
Pengelasan pintar menerusi penandaan industri automatik, pengecaman peranan dan pandangan boleh tapis.
Kecerdasan korporat bersama, memastikan kenalan bernilai kekal milik syarikat dan tiada prospek terlepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Technologies Solutions Berhad, Datuk Eddie Ong Choo Meng, berkata Net7 dibina khas untuk sektor perbankan, insurans, runcit dan pelbagai industri lain, dengan penekanan terhadap keselamatan kukuh dan kebolehskalaan global.

“Ia berintegrasi dengan lancar bersama platform CRM utama, menyokong piawaian ISO 27001, mematuhi PDPA dan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kad nama bercetak demi kelestarian digital.
“Nama Net7 membawa maksud ‘jaringan tanpa sempadan di tujuh benua’. Dengan menggabungkan inovasi AI dan kecerdasan CRM, kami mentakrifkan semula cara perniagaan mengubah kad nama ringkas menjadi hubungan berkekalan serta peluang sebenar,” katanya.
Hextar Technologies Solutions Berhad merupakan syarikat induk kepada MoneyX.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mandrill Tech Sdn Bhd, Davent Low, berkata kejayaan Net7 menjadi asas kepada pelancaran Net7 Enterprise yang dijadualkan pada hujung tahun ini.
“Versi ini akan memanfaatkan kecerdasan data lanjutan bagi menyediakan pelanggan dengan pandangan terkini mengenai rangkaian sedia ada mereka.
“Lebih penting, ia menggunakan AI untuk menganalisis perkembangan terkini, mencadangkan peluang jualan tambahan dan menambah nilai kepada rangkaian perniagaan mereka,” katanya.
Menurutnya, secara tradisional kad perniagaan hanya mengandungi maklumat statik tanpa mendedahkan perkembangan semasa atau sektor perniagaan terkini.
“Dengan Net7, pengguna akan sentiasa dimaklumkan apabila kenalan berpindah ke peranan atau syarikat baharu kerana profil mereka dikemas kini secara automatik.
“Gabungan ciri-ciri ini menjadikan pengurusan hubungan profesional lebih pintar, mudah dan berkesan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

