[VIDEO] Inkues Zara Qairina: Ram Singh terima mesej ugutan hampir sebulan

A
A
A

KOTA KINABALU- Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan selama hampir sebulan daripada seorang jurutera yang kini direman untuk siasatan polis.

Katanya, lelaki berusia 27 tahun yang berasal dari Ipoh itu hanya berjaya dikesan selepas menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kerana sebelum ini bekerja di kawasan pesisir pantai negara jiran.

Ram Singh mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan selama hampir sebulan daripada seorang jurutera.
Ram Singh mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan selama hampir sebulan daripada seorang jurutera.

"Dalam tempoh hampir sebulan. Dia hantar mesej satu hari, kemudian sambung keesokan harinya, dan berterusan lagi selepas itu. Tapi saya tidak membalasnya walaupun dia suruh saya balas. Kata-katanya sangat kesat.

"Jika kita baca mesej-mesejnya, terutamanya yang dihantar melalui WhatsApp, ia memang sangat teruk. Kalau perkara seperti itu berlaku kepada anda sendiri, ia memang dianggap satu ugutan.

"Kata-katanya sendiri sudah menunjukkan unsur ugutan seperti 'cari kamu, kasi mati kamu, mati katak'," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, susulan laporan yang telah dibuat, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terlibat.

"Saya percaya dia akan disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta 233 Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya percaya pegawai penyiasat telah melengkapkan siasatan dan mungkin telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kita lihat apa tindakan DPP terhadap kes ini. Biar undang-undang mengambil tindakan sewajarnya terhadapnya," katanya.

Jelasnya, mereka sebagai peguam hanya menjalankan tugas dalam inkues tersebut tanpa menyinggung mana-mana pihak.

"Seperti yang anda tahu, kami menjalankan kerja ini secara pro bono demi mencari kebenaran. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya dalam kalangan wartawan atau orang yang menjalankan tugas. Saya tidak mahu rakan-rakan saya menerima ugutan seperti ini.

“Jadi saya harap dia insaf. Dia ada menghantar mesej pada penghujungnya untuk memohon maaf selepas dua hingga tiga minggu, selepas pihak polis mengesannya. Tapi saya tidak membalas mesej-mesej itu. Saya hanya harap dia sedar atas perbuatannya," katanya.

Beliau dalam pada itu berpandangan bahawa perbuatan tersebut memalukan dan tidak sepatutnya berlaku lagi dalam masyarakat moden ketika ini.

Sebelum itu, jurutera tersebut ditahan reman bermula Khamis hingga Ahad ini untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Ringkasan AI

  • Peguam Datuk Ram Singh menerima ugutan daripada seorang jurutera selama hampir sebulan
  • Jurutera berusia 27 tahun itu berjaya dikesan setelah menyerahkan diri di IPD Kota Kinabalu
  • Mesej-mesej ugutan yang diterima termasuk kata-kata kasar dan ancaman melalui WhatsApp
  • Jurutera tersebut mungkin akan disiasat di bawah Seksyen 506 dan 507C(1) Kanun Keseksaan serta 233 Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Peguam itu berharap individu terlibat insaf dan telah menerima mesej permohonan maaf daripada jurutera tersebut setelah dirinya dikesan oleh pihak polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!