10 tahun bersama usahawan tempatan: Shopee memperkasa PKS di Platform E-Dagang

SHAH ALAM - Sekitar tahun 2015, dunia e-dagang masih lagi baharu dalam kalangan rakyat Malaysia. Ketika itu, ramai pengguna yang masih belum mempunyai keyakinan penuh terhadap konsep membeli-belah secara dalam talian. Manakala, peniaga kecil terutamanya baru sahaja berjinak dalam menerokai potensi digital dalam memperluaskan pasaran mereka.
Namun, hari ini, keadaan telah berubah sepenuhnya. E-dagang kini telah menjadi tonggak utama ekonomi digital negara. Platform ini bukan sahaja memudahkan urusan jual dan beli, tetapi membuka peluang besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk berkembang di peringkat tempatan dan nasional.
Di sebalik perubahan ini, dalam tempoh 10 tahun, Shopee telah membantu usahawan tempatan menyesuaikan diri dengan dunia digital dan membina keyakinan mereka untuk terus berkecimpung di dunia e-dagang. Sempena ulang tahun ke-10 Shopee di Malaysia, Pengarah Shopee Malaysia, Saovanee Chan-Somchit, berkongsi bagaimana platform ini terus menjadi rakan usahawan tempatan dan peranannya dalam memacu ekonomi digital negara.
Apakah matlamat utama Shopee ketika permulaan operasinya di Malaysia?
Saovanee: Sejak awal lagi, kami mempunyai hasrat untuk menjadikan urusan pembelian dan penjualan dalam talian lebih mudah, selamat dan boleh dipercayai. Pada waktu itu, ramai peniaga kecil yang tidak tahu bagaimana hendak memulakan perniagaan di platform digital dan pengguna pula, mereka masih ragu-ragu untuk membuat pembelian secara dalam talian. Oleh itu, kami ingin mewujudkan satu platform yang memberikan keyakinan kepada kedua-dua pihak, di mana pengguna boleh membuat pembelian secara selamat, dan peniaga pula mempunyai peluang untuk mengembangkan perusahaan mereka.
Bagaimana Shopee menyokong peniaga tempatan untuk berkembang?
Saovanee: Ramai di antara mereka memulakan perniagaan dalam talian tanpa pengetahuan digital yang kukuh. Ada sebahagian daripada mereka yang baru sahaja belajar cara-cara memuat naik produk dan mengambil gambar untuk menarik pelanggan.
Kami percaya bahawa untuk membina ekosistem e-dagang yang kukuh, peniaga perlu diberi ilmu pengetahuan yang cukup serta kemahiran dan sokongan yang baik.
Oleh itu, kami mewujudkan pelbagai program latihan untuk membimbing mereka dari peringkat asas sehingga mereka mampu berdikari. Antara inisiatif utama Shopee termasuk:
Shopee University – inisiatif yang menawarkan latihan percuma merangkumi pemasaran, khidmat pelanggan, analisis data dan penjenamaan. Sejak tahun 2016, lebih 2.5 juta jam latihan dan bengkel telah dijalankan untuk peniaga tempatan.
ShopeeXperts – melalui program ini, kami melatih peniaga berpengalaman untuk menjadi jurulatih untuk membantu peniaga lain, termasuk di Sabah, Sarawak dan Kelantan.
Kerjasama komuniti dan agensi tempatan – memberi bimbingan secara langsung kepada komuniti tempatan melalui sesi latihan.
Sepanjang 10 tahun ini, bagaimana Shopee membantu mencipta peluang kepada usahawan tempatan?
Saovanee: Sejak sedekad yang lalu, hampir dua juta PMKS Malaysia telah memulakan perniagaan mereka di Shopee, dengan jumlah nilai dagangan kasar (GMV) melebihi RM154 bilion. Pada mulanya, ramai yang memulakan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan dan hanya sekadar ingin mencuba. Kini, mereka berjaya mengembangkan perniagaan sepenuhnya.
Kami juga banyak mendengar kisah-kisah inspirasi usahawan kecil yang telah berjaya meluaskan jenama mereka serta mencipta peluang pekerjaan untuk komuniti tempatan.
Sebagai contoh, Emilhan Mokhtar dari Sabah memulakan KitaShop dengan modal RM2,000 melalui penjualan aksesori mutiara sabah secara dalam talian di Shopee. Kini, beliau berjaya mencapai jualan melebihi RM1.3 juta, membuka kedai fizikal di Wisma Sabah, serta mencipta peluang pekerjaan untuk orang tempatan.

Muhammad Faizz di Terengganu pula berjaya memenuhi permintaan jualan produk keropok lekor ke negeri lain seperti Selangor dan Johor. Sejak itu, beliau telah menerima lebih 100,000 pesanan, mengambil kira-kira 100 pesanan sehari, dan menyediakan pekerjaan untuk kira-kira 25 orang.
Kisah-kisah seperti ini membuktikan bahawa peluang digital bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin mencuba.
Bagaimana Shopee akan terus menyokong penjual tempatan pada masa hadapan?
Saovanee: Memasuki abad baharu, kami ingin menyokong peniaga melalui penggunaan teknologi serta memberi bimbingan yang berterusan.
Antaranya, kami bekerjasama dengan rakan logistik pihak ketiga bagi memperluaskan rangkaian untuk memenuhi pesanan di seluruh Malaysia.
Kami juga telah memperkenalkan alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk penyuntingan imej, video dan terjemahan automatik ke Bahasa Malaysia, selain menambah baik sokongan pelanggan 24 jam melalui Chat AI Assistant.
Program Rakan Perniagaan Shopee (Shopee Business Partners) turut dilancarkan bertujuan untuk memadankan peniaga dengan pakar yang boleh memberi nasihat dan bimbingan secara peribadi untuk membantu mereka meluaskan perniagaan dengan lebih strategik.
Apakah langkah Shopee untuk memastikan impak jangka panjang kepada PMKS Malaysia?
Saovanee: Kami percaya bahawa kejayaan digital perlu bersifat inklusif dan mampan. Walaupun banyak kemajuan yang telah dicapai, masih banyak lagi yang boleh dilakukan.
Antara fokus keutamaan kami:
- Meluaskan penyertaan digital dengan memastikan lebih ramai usahawan, termasuk di kawasan luar bandar, dapat menikmati peluang sama rata.
- Memperkasa melalui inovasi dengan membangunkan alat dan sistem yang membantu PMKS berniaga dengan lebih cekap dan berdaya saing.
- Meningkatkan kemahiran jangka panjang dengan meneruskan inisiatif seperti Shopee University agar penjual terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
- Menyokong kelestarian perniagaan dan memperkukuh logistik dan kos operasi supaya PMKS berkembang maju.
- Bekerjasama dengan ekosistem tempatan dan melibatkan sektor awam, swasta dan komuniti untuk mencipta impak bermakna seiring dengan agenda digital negara.
Shopee mahu kekal menjadi rakan penjual pada setiap peringkat perjalanan mereka. Pada akhirnya, matlamat kami tetap sama — menggunakan teknologi untuk memudahkan kehidupan dan memperkukuh komuniti.
Setelah memasuki sedekad di Malaysia, perjalanan Shopee membuktikan bahawa dunia digital mampu membuka ruang baharu kepada usahawan tempatan. Dengan sokongan berterusan kepada PMKS, Shopee komited untuk terus membina masa depan e-dagang yang mampan dan inklusif untuk semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
