Kerajaan Pusat tiada kuasa

Wan Rosdy ketika berucap kepada penduduk di PDM Tanjung Gahai, hari ini.
Wan Rosdy ketika berucap kepada penduduk di PDM Tanjung Gahai, hari ini.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan Pusat tiada kuasa untuk mencampuri urusan membabitkan tanah di negeri ini berikutan ia tertakluk dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sebarang tindakan berkaitan pindah milik dan penukaran status tanah di negeri ini.

Menurutnya, apa juga janji yang ditawarkan kerajaan PH berkaitan perkara itu adalah suatu pembohongan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa Pusat.

"Kalau mereka (PH) berjanji untuk memberikan geran (tanah) atau meluluskan permohonan tanah dikemukakan oleh penduduk atau menyelesaikan sebarang isu membabitkan tuntutan dan cukai tanah di kawasan ini (Parlimen Cameron Highlands), ia adalah tidak betul dan satu pembohongan.

"Semua urusan berkaitan tanah di Pahang adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan kita ada Kanun Tanah Negara yang tidak membabitkan kuasa kerajaan Pusat," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama calon BN, Ramli Mohd Nor di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Gahai di Kampung Bertang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi BN negeri mengingatkan pengundi di kawasan itu tidak terpedaya dengan pelbagai janji yang ditawarkan oleh PH sepanjang kempen PRK berkenaan.

"Ini biasalah, ketika berkempen semua nak buat janji... akhirnya, kita (BN) harap pengundi buat keputusan tepat dan tidak termakan dengan janji yang mereka (PH) buat.

Artikel Berkaitan:

"Macam kes tanah inilah juga, bagaimana mereka (PH) nak selesaikan... kalau Kerajaan Pusat nak buat bangunan di Pahang pun kena dapatkan kebenaran daripada kami (kerajaan negeri), takkanlah mereka boleh selesaikan isu milikan tanah tanpa kerjasama kerajaan Pahang," ujarnya.