Polis Johor lupus 651kg dadah bernilai RM43 juta

JOHOR BAHRU – Polis Johor telah melupuskan sebanyak 651 kilogram dadah bernilai lebih RM43 juta, melibatkan 4,528 kertas siasatan bagi kes yang telah selesai perbicaraan di mahkamah dari tahun 2000 hingga 2024.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, pelupusan itu dilaksanakan selepas mendapat kebenaran dan perintah mahkamah, dan turut melibatkan pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses dadah.
"Barang kes yang dilupuskan melibatkan kes di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Rabu.
Antara dadah utama yang dilupuskan termasuk heroin seberat 51.81 kilogram (kg) bernilai RM1,445,403; ganja (17.10kg) bernilai RM513,166, ketamin (94.39kg) bernilai RM 18,879,900, methamphetamine (49.65 kg) bernilai RM5,462,028; MDMA (105.64kg) bernilai RM 16,856,337 dan Nimetazepam (1.59kg) bernilai RM159,259,

Tambah beliau, pelupusan turut melibatkan bahan-bahan lain seperti daun ketum; 325.38 kg (RM13,015); air ketum, 5,120.92 liter (RM153,627); pil yaba: 193.14 gram (RM14,485); cecair vape: 456.10 gram (RM45,609) dan cecair bahan kimia: 6,666 liter
"Jumlah keseluruhan dadah yang dilupuskan ialah 651,892.25 gram, manakala bahan dalam bentuk cecair mencecah 12,243.02 liter.
“Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dilupuskan dianggarkan sebanyak RM43,542,832. Sekiranya dadah ini berjaya diseludup ke pasaran, ia berpotensi digunakan oleh 1.39 juta penagih,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses pelupusan mematuhi piawaian alam sekitar, dan dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat bertauliah yang menggunakan teknologi insinerator moden.
“Syarikat ini menggunakan fasiliti pelupusan terkini yang menghasilkan tenaga baharu, beroperasi secara teratur dan bebas pencemaran.
“Proses pelupusan akan dijalankan di Tapak Pelupusan Radicare (M) Sdn Bhd, Telok Panglima Garang, Selangor,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Polis Johor melupuskan 651 kilogram dadah bernilai RM43 juta dari kes tahun 2000 hingga 2024
- Pelupusan dilakukan selepas mendapat kebenaran dari mahkamah
- Dadah yang dilupuskan termasuk heroin, ganja, ketamin, methamphetamine, MDMA dan Nimetazepam
- Pelupusan turut melibatkan daun ketum, air ketum, pil yaba, cecair vape, dan cecair bahan kimia
- Proses pelupusan mematuhi piawaian alam sekitar dengan menggunakan fasiliti insinerator yang bebas pencemaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
