Enam kenderaan rosak di KTM Ipoh, pemandu van serah diri

IPOH - Insiden enam kenderaan rosak di kawasan parkir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Ipoh awal pagi Ahad lalu terjawab selepas seorang lelaki tampil menyerah diri di Pejabat Polis Trafik Ipoh pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 48 tahun itu hadir untuk membantu siasatan berhubung kejadian yang tular di media sosial.
Menurutnya, kemalangan kira-kira jam 2.55 pagi pada 5 Oktober lalu berlaku apabila van yang dipandu lelaki berkenaan gagal dikawal ketika membelok masuk ke simpang.

"Keadaan itu mengakibatkan van terbabit hilang kawalan sebelum merempuh enam kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.
"Polis menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membantu mengesan pemandu terbabit," katanya.
Sebelum ini tular di media sosial video berdurasi 30 saat memaparkan beberapa kereta antaranya jenis Honda dan Toyota Vios diparkir di Stesen KTM Ipoh mengalami kerosakan terutama di bahagian but dan bonet.
Ringkasan AI
- Insiden enam kenderaan rosak di kawasan parkir Stesen KTM Ipoh diselesaikan dengan seorang lelaki menyerah diri untuk membantu siasatan
- Lelaki berusia 48 tahun hadir ke Pejabat Polis Trafik Ipoh
- Insiden berpunca dari kehilangan kawalan van saat membelok masuk simpang pada 5 Oktober jam 2.55 pagi
- Tiada kecederaan dilaporkan akibat insiden tersebut
- Ujian saringan air kencing menunjukkan lelaki itu bebas daripada pengaruh dadah, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

