Tiada arahan hadkan penggunaan SUV dalam perkhidmatan e-hailing - Anthony

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis Sport Utility Vehicle (SUV) bagi tujuan pendaftaran e-hailing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi kenyataan memaklumkan, tiada sebarang perubahan dasar dibuat berkaitan kelayakan jenis kenderaan untuk digunakan dalam perkhidmatan e-hailing.
"Semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO),” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan media yang menimbulkan kekeliruan mengenai status penggunaan kenderaan jenis SUV untuk tujuan pendaftaran e-hailing.
Anthony berkata, pihaknya memahami kebimbangan dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali, dan memberi jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada.
Sebelum ini, terdapat laporan menyebut bahawa kenderaan jenis SUV tidak lagi dibenarkan mendaftar untuk e-hailing.
Sebelum ini, Sinar Harian dalam satu laporan menyebut bahawa terdapat spekulasi mengatakan kenderaan jenis SUV tidak lagi dibenarkan mendaftar untuk e-hailing.
Pemimpin Transformasi Perniagaan dan Dasar Awam mewakili My Mobility Vision, Dr Muhammad Afiq Redzuan berpandangan impak laporan itu sekilas pandang mungkin kelihatan kecil, tetapi hakikatnya ia mampu melumpuhkan ekosistem mobiliti negara dan merosakkan imej Malaysia di mata dunia.
Menurutnya, sekiranya laporan itu benar, kekeliruan ini amat membebankan pemandu e-hailing yang telah melabur membeli SUV, kebanyakannya melalui pinjaman bank tetapi kini tidak pasti sama ada kenderaan mereka sah digunakan.
"Lebih membimbangkan, apabila isu ini dibangkitkan, jawapan daripada APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) saling bercanggah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
