GSF: 23 sukarelawan Malaysia tiba di KLIA malam esok

Ahmad Farhan bersama Sani Araby bertemu dengan sukarelawan GSF selepas selamat tiba di Istanbul. Sumber foto FB Ahmad Farhan pada Isnin.
Ahmad Farhan bersama Sani Araby bertemu dengan sukarelawan GSF selepas selamat tiba di Istanbul. Sumber foto FB Ahmad Farhan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Kepulangan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air bakal disambut ibarat wira pada Selasa.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Sani Araby, kepulangan delegasi Malaysia tersebut dijangka tiba pada jam 9.45 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH, SNCC memanjangkan makluman dan jemputan kepada semua pihak penyokong serta rakan media ke majlis sambutan kepulangan wira Sumud Nusantara Malaysia pada 7 Oktober ini, Selasa jam 9.45 malam di KLIA,” katanya dalam kenyataan itu.

Ketika ini, Sani Araby bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berada di Istanbul bagi bertemu dengan 23 sukarelawan berkenaan.

Ahmad Farhan bertemu dengan sukarelawan Malaysia selepas selamat tiba di Istanbul. Foto: FB Ahmad Farhan
Ahmad Farhan bertemu dengan sukarelawan Malaysia selepas selamat tiba di Istanbul. Foto: FB Ahmad Farhan

Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengamanahkannya untuk membantu mempermudahkan segala urusan sukarelawan Malaysia di Istanbul dan membawa mereka pulang dengan selamat.

“Kepulangan mereka kelak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin, tetapi menjadi lambang bagaimana negara kecil seperti Malaysia ini tetap utuh dengan prinsipnya serta memiliki rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar.

Artikel Berkaitan:

“Pohon doa rakyat dan sahabat semua untuk keselamatan kepulangan wira dan wirawati negara,” katanya pada Isnin.

Ahmad Farhan berbual dengan Zainal Rashid (ZRA) salah seorang sukarelawan Malaysia selepas selamat tiba di Istanbul. - Foto: FB Ahmad Farhan.
Ahmad Farhan berbual dengan Zainal Rashid (ZRA) salah seorang sukarelawan Malaysia selepas selamat tiba di Istanbul. - Foto: FB Ahmad Farhan.

Menurut Ahmad Farhan, hampir keseluruhan sukarelawan berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin.

“Malah, mereka kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin.

“Semangat mereka sukar untuk saya gambarkan. Kebanyakan aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka ke laut kerana bimbang ia jatuh ke tangan rejim. Oleh itu, mereka kini berada di Istanbul jauh daripada keluarga tanpa telefon bimbit,” katanya

Ringkasan AI

  • Kepulangan 23 sukarelawan Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla disambut sebagai wira
  • Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, mengumumkan kepulangan mereka dijangka tiba di KLIA pada jam 9.45 malam
  • Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, berada di Istanbul untuk membantu urusan sukarelawan tersebut
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melihat kepulangan ini bukan sebagai akhir perjuangan tetapi simbol keteguhan Malaysia terhadap prinsip dan perjuangan pembebasan Palestin
  • Hampir semua sukarelawan dalam keadaan sihat dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun terpaksa membuang telefon bimbit mereka untuk mengelak dari ditangkap rejim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!