Akademia tulang belakang pembangunan negara - Zambry

Zambry (tengah) bergambar bersama penerima dana Fundamental 2025.
Zambry (tengah) bergambar bersama penerima dana Fundamental 2025.
A
A
A

SEREMBAN – Golongan akademia jarang diraikan berbanding bidang lain seperti sukan dan ekonomi, sedangkan mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan negara serta pembentukan sesebuah tamadun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejarah membuktikan bahawa ilmu merupakan tiang seri kepada kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

“Kalau kita lihat sejarah pelbagai tamadun besar dunia, asasnya adalah ilmu. Dalam konteks Islam sendiri, kita ada Baitul Hikmah di Baghdad yang menjadi simbol keilmuan dan kemajuan ketika itu.

“Walaupun institusi seperti Baitul Hikmah sudah tidak lagi wujud, nilai keilmuannya masih dapat dirasai hingga ke hari ini membuktikan bahawa ilmu itu bersifat kekal dan berpengaruh dalam membentuk ketamadunan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Jumaat.

Zambry (tengah) menyempurnakan gimik perasmian.
Zambry (tengah) menyempurnakan gimik perasmian.

Program itu menghimpunkan dan meraikan golongan ilmuan terdiri daripada penyelidik, pentadbir, kakitangan sokongan, mahasiswa serta seluruh ekosistem pendidikan tinggi.

Beliau berkata, institusi pendidikan tinggi bukan sahaja memainkan peranan dalam penyebaran ilmu malah menjadi pemacu perubahan negara daripada ekonomi agraria kepada ekonomi industri dan kini ke arah negara pascaindustri.

“Universiti adalah tempat percambahan idea dan inovasi. Hasil usaha semua pihak, beberapa universiti kita kini tersenarai dalam kelompok terbaik dunia dalam penarafan QS dan Times Higher Education.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia ada yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, ada dalam 200, 300 dan juga 500 terbaik dunia. Manakala di peringkat Asia Tenggara pula, lima daripada 10 universiti terbaik di rantau ini adalah dari Malaysia, dua dari Singapura, dua dari Indonesia dan satu dari Thailand,” jelasnya.

Warga akedemia yang diraikan Majlis Sambutan Hari Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di USIM pada Jumaat.
Warga akedemia yang diraikan Majlis Sambutan Hari Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di USIM pada Jumaat.

Zambry turut mengingatkan bahawa walaupun ada yang mempersoalkan tahap pencapaian universiti di peringkat antarabangsa, masyarakat seharusnya menanam semangat ‘kekitaan’ terhadap institusi pendidikan tinggi tempatan dan bukannya melemparkan tuduhan tidak berasas.

Sementara itu, Pensyarah USIM, Dr Norfadhilah Mohd Salleh berkata, golongan pensyarah memainkan peranan penting sebagai role model kepada pelajar, bukan sahaja melalui penyampaian ilmu tetapi juga menerusi pencapaian dan penglibatan aktif dalam masyarakat.

Katanya, setiap tindakan dilakukan sama ada melalalui penulisan dan sumbangan kepada masyarakat akan menjadi perhatian pelajar.

“Pada saya, setiap  pencapaian atau kejayaan yang dikongsikan bersama pelajar ini bukan untuk membangga diri, sebaliknya untuk memberitahu ia adalah daripada hasil usaha berterusan yang menuntut pembacaan luas, jaringan profesional dan komitmen tinggi terhadap ilmu.

NORFADLILAH
NORFADLILAH

“Itu adalah bentuk perkongsian yang membina dan saya percaya ia dapat membantu membangunkan jiwa pelajar, lebih-lebih lagi apabila kita kaitkan dengan nilai-nilai Islam yang memberi panduan holistik kepada kehidupan,” ujarnya.

Tambah beliau, peranan akademia tidak seharusnya terbatas kepada penulisan artikel ilmiah semata-mata yang hanya dibaca oleh komuniti kecil, sebaliknya ilmu yang ada perlu disampaikan kepada masyarakat secara lebih meluas dan bermanfaat.

“Bagi saya, aspek bagaimana kita menyampaikan ilmu kepada masyarakat adalah yang paling utama.

“Golongan akademik bukan hanya duduk di menara gading, tetapi harus terlibat bersama masyarakat, menyampaikan ilmu dalam bentuk yang hidup dan relevan,” katanya yang telah berkecimpung dalam bidang akademik selama 20 tahun.

Seorang lagi pensyarah USIM, Prof Dr Nisar Mohammad Ahmad berkata, warga akademia memainkan peranan penting dalam mencorakkan cara fikir pelajar, namun turut berdepan cabaran teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) dalam memastikan ketulenan tugasan pelajar. 

“Walaupun kita tak boleh tolak 100 peratus penggunaan AI, kadangkala ada yang menyalahgunakannya tanpa memberi pengiktirafan kepada kerja penyelidikan asas yang sebenar.

“Antara cabaran ketara ketika ini ialah isu plagiarisme dan peniruan dalam penulisan akademik termasuk tesis peringkat sarjana dan PhD,” katanya.

Untuk mengatasi cabaran itu katanya, kebanyakan universiti kini menggunakan platform seperti Turnitin bagi mengesan tahap kesamaan kandungan penulisan pelajar, selain pensyarah juga dapat mengenal pasti ketulenan melalui kepakaran dan pengalaman masing-masing. 

NISAR
NISAR

Selain itu katanya, hasil ketulenan penulisan juga boleh diketahui daripada gaya bahasa dan kandungan, terutama apabila ia tidak selari dengan hasil kerja pelajar sebelum ini atau tidak menepati kefahaman sebenar dalam bidang tersebut.

Tarikh 5 Oktober diisytiharkan sebagai Hari Akademia Malaysia sejak tahun 2019 sebagai menghargai jasa serta sumbangan warga akademik di pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi termasuk institut latihan dan vokasional.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memperkenalkan Oktober sebagai Bulan Akademia, yang diisi dengan pelbagai program wacana serta aktiviti intelektual di seluruh IPT bagi memperkasa peranan akademia dalam membina masyarakat berilmu.

Sambutan Hari Akademia diadakan bagi mengangkat dua tujuan utama, iaitu menghargai khidmat bakti dan sumbangan tenaga akademik di pelbagai institusi pendidikan tinggi, di samping memberi pengiktirafan terhadap peranan penting warga pendidik dalam membangunkan modal insan berkualiti serta memperkukuh pendidikan negara di persada antarabangsa.

Bertemakan 'AI dalam Pendidikan Tinggi’ sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada keperluan mendepani arus perubahan teknologi dan inovasi dalam landskap pendidikan negara.

USIM turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk Kerangka AI Syariah dan ILA Chatbox sebagai bukti kesungguhan universiti dalam memanfaatkan teknologi AI secara beretika dan memberi impak nyata kepada masyarakat.

Ringkasan AI

  • Golongan akademia jarang diraikan berbanding bidang lain tetapi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara
  • Menteri Pendidikan Tinggi menekankan pentingnya ilmu dalam kemajuan bangsa dan tamadun
  • Program di USIM meraikan golongan ilmuan dan memperlihatkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu perubahan negara
  • Universiti di Malaysia tersenarai dalam kelompok terbaik dunia dan Asia Tenggara dalam penarafan QS dan Times Higher Education
  • Pensyarah sebagai role model penting dalam penglibatan aktif dalam masyarakat dan pencapaian akademik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!