IGBC 2025 platform strategik perkukuh peranan Malaysia dalam kelestarian bandar, iklim

Fateh Iskandar (depan, tengah) bersama Jeffrey (depan, dua dari kanan) dan pihak berkepentingan lain dalam sidang akhbar berhubung IGBC 2025 di Wisma Rehda pada Rabu.
Fateh Iskandar (depan, tengah) bersama Jeffrey (depan, dua dari kanan) dan pihak berkepentingan lain dalam sidang akhbar berhubung IGBC 2025 di Wisma Rehda pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pembangunan mampan dan berdaya tahan iklim menerusi International Green Build Conference (IGBC) 2025 yang akan diadakan di One World Hotel, di sini pada 19 Ogos ini.

Pengerusi GreenRE, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, persidangan yang mengetengahkan tema Penyesuaian Melalui Inovasi Mampan itu dijangka menjadi titik tumpu utama bagi inovasi bandar hijau serantau.

Menurutnya, persidangan yang dianjurkan bersama GreenRE serta Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Institut Rehda) itu bakal menghimpunkan lebih 800 delegasi termasuk wakil kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penyelidik, pakar bidang perancangan bandar, pelajar dan pihak berkepentingan lain.

"Seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi tempoh 2025 hingga 2029, IGBC 2025 menjadi platform strategik untuk mengetengahkan usaha negara dalam kelestarian bandar, inovasi dasar dan pembangunan berpaksikan alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG).

"Bagi memperluas manfaat dan daya tarikan IGBC 2025, dua inisiatif baharu diperkenalkan iaitu pameran interaktif dengan menampilkan inovasi dan teknologi sebenar untuk menurunkan pelepasan karbon, memperkukuh daya tahan bandar dan menyokong matlamat sifar bersih.

"Selain itu, lebih 10 universiti tempatan akan menyertai inisiatif tajaan berjumlah lebih RM100,000, melibatkan pelajar dan pensyarah terpilih untuk hadir dan berinteraksi secara langsung dengan pemain industri," katanya ketika sidang akhbar pelaksanaan persidangan itu di Wisma Rehda di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Institut Rehda, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip; Pengerusi Triterra, Datuk Seri Dr Michael KC Yam serta pihak berkepentingan lain.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dijadualkan menyampaikan ucaptama dalam sesi menteri ketika persidangan tersebut.

IGBC 2025 turut menampilkan barisan panel seperti Pengarah Bersekutu Zaha Hadid Architects, Shao-wei Huang; Arkitek dan Parlimen United Kingdom (UK), Catharine Arul Dass; Pengarah Urusan Ally Logistics, Keren Liu serta beberapa tokoh lain.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, peserta turut dijadualkan mengikuti lawatan kelestarian ke tapak pembangunan hijau seperti PNB118, Sunway International School, Gamuda Cove Arboretum dan Sime Darby Elmina.

Mengulas lanjut, Fateh Iskandar berkata, lebih 25 pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka hadir ke persidangan tersebut iaitu peningkatan daripada 15 pada tahun lalu yang menandakan keterbukaan kepada idea baharu, teknologi terkini dan perkongsian pintar.

"IGBC 2025 selari dengan beberapa dasar utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerangka bandar rendah karbon dan matlamat perbandaran mampan ASEAN serta UN-Habitat.

"Dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, migrasi bandar dan jurang infrastruktur, IGBC muncul sebagai platform penting untuk penyeragaman dasar, pertukaran ilmu dan kerjasama rentas sektor.

"Melalui IGBC 2025, kami berharap dapat mendorong dialog yang memberi impak serta mencetuskan penyelesaian nyata dalam penyesuaian iklim, integrasi teknologi hijau serta perancangan bandar inklusif," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!