Dr Mazlan Yusoff dilantik KSU Kementerian Pengajian Tinggi

Mohd Zuki memuat naik foto pelantikan Dr Mazlan sebagai KSU Kementerian Pengajian Tinggi di Facebooknya.
Mohd Zuki memuat naik foto pelantikan Dr Mazlan sebagai KSU Kementerian Pengajian Tinggi di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengajian Tinggi yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Dr Mazlan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pemodenan perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah, Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan tersebut selaras dengan pewujudan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai kementerian baharu.

"Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah (Kepujian) dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Polisi Sains daripada Universiti Saitama, Jepun dan Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dari Universiti Hull, United Kingdom.

"Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 12 Januari 1988.

"Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki, beliau mampu membawa perubahan terhadap peranan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan dan pemodenan pusat ilmu yang unggul dan seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berupaya memacu pembangunan negara di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: