GSF: Tok Mat ‘video call’ Pu Rahmat tanya khabar aktivis Malaysia

Antara aktivis GSF Malaysia yang kini berada di Turkiye. Foto FB Mohamad Hasan
Antara aktivis GSF Malaysia yang kini berada di Turkiye. Foto FB Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sempat mengadakan panggilan video pendek bersama salah seorang aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu Pu Rahmat Ikhsan untuk bertanyakan khabar kesemua yang tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye sebentar tadi.

Mohamad turut menyampaikan pesan kepada PU Rahmat dan aktivis lain untuk menginap serta berehat selama satu hari di Istanbul terlebih dahulu sebelum pulang ke tanah air.

“Alhamdulillah selamat semuanya.

“Saya dah minta Kedutaan Malaysia di Ankara untuk sediakan kediaman dan tidurlah dulu di situ. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun dah beri kebenaran.

“Buat pemeriksaan kesihatan kemudian balik ke Malaysia. Yang penting, semua dah selamat,” katanya pada Sabtu.

PU Rahmat juga sempat berkongsi keadaan terkini kesemua delegasi Malaysia kepada Mohamad.

“Kami dari negara haram Israel diterbangkan terus ke Istanbul menaiki Turkish Airlines.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat luar biasa. Kawan-kawan dan saudara senegara pun sambut kita dengan baik.

“Saya awal cop pasport tadi sebab nak hubungi emak tapi rezeki dapat hubungi Datuk Seri dahulu. Subhanallah sekarang lapar (teringin) masak lemak cili api pula,” selorohnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pesawat membawa aktivis GSF yang diserang dan ditahan Israel di perairan antarabangsa, selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul.

Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel itu tiba di lapangan terbang berkenaan pada 3.50 petang waktu tempatan, lapor Anadolu Ajansi.

Seramai 137 orang daripada flotilla itu, termasuk 36 warga Turkiye dan 23 rakyat Malaysia selamat tiba di Istanbul.

Ketibaan para aktivis disambut oleh pegawai dan orang ramai di lapangan terbang.

Selain warga Turkiye dan Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang dari Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia serta Jordan.

Sementara itu, menerusi siaran langsung TRT Haber, kelibat rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dirakam turun dari pesawat Turkish Airlines bersama aktivis Turkiye yang lain.

Antaranya ialah Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik dan Pu Rahmat Ikhsan yang dilihat gembira turun daripada pesawat sambil melambaikan tangan ke arah pengamal media serta orang awam.

Peserta lain seperti Ardell Aryana, Hazwani dan Heliza Helmi, Musa Nuwayri, Haroqs, Ilyia Balqis turut kelihatan berada di dalam pekarangan lapangan terbang sambil wartawan menemu bual Zulfadhli Khairudin.

Kesemuanya tampak tenang dan tersenyum sebaik menjejakkan kaki di bumi Istanbul selepas dibebaskan rejim Israel.

 

 

Ringkasan AI

  • Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah membuat panggilan video dengan aktivis Malaysia, Pu Rahmat Ikhsan, yang baru tiba di Istanbul dari Israel
  • Mohamad mengarahkan semua aktivis untuk berehat di Istanbul sebelum pulang ke Malaysia
  • Pesawat yang membawa aktivis Global Sumud Flotilla, termasuk 23 rakyat Malaysia, selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul
  • 137 orang daripada flotilla itu termasuk warga dari Turkiye, AS, UAE, dan negara lain selamat tiba
  • Keadaan delegasi Malaysia dilaporkan baik dan mereka disambut hangat di lapangan terbang Istanbul

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!