GSF: Bawa pulang 23 rakyat Malaysia bukti diplomasi Madani berhasil

SHAH ALAM - Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) daripada tahanan rejim Israel membuktikan keberhasilan dan kekuatan diplomasi Madani.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan itu menunjukkan kekuatan diplomasi yang berpaksikan prinsip kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat.
Menurut beliau, hasil rundingan melibatkan pelbagai negara termasuk Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat (AS).
"Alhamdulillah, saya bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepimpinan beliau yang berani, berprinsip serta berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.
"Usaha ini mencerminkan keutuhan suara Malaysia di pentas dunia, sebuah negara yang tegas menolak kezaliman dan sentiasa mempertahankan hak rakyatnya di mana jua mereka berada. KDN menyambut perkara ini dengan penuh rasa syukur serta bangga.
"Ia bukan sekadar kejayaan membebaskan tahanan, tetapi juga mempertahankan maruah serta keselamatan rakyat Malaysia. Dalam setiap usaha ini, keselamatan warganegara kekal menjadi keutamaan kerajaan serta kementerian," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, 23 rakyat Malaysia yang terbabit dengan GSF kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon, Israel menuju ke Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Anwar berkata, mereka diterbangkan menggunakan pesawat khas dari Turkiye selepas rundingan diplomatik pelbagai hala dan mendapat persetujuan bersama Presidennya, Recep Tayyip untuk menguruskan perkara berkenaan.
Menurutnya, kesemua peserta kini sedang diselaraskan untuk transit di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma semasa dalam tahanan.
Saifuddin turut memaklumkan, penglibatannya dalam perbincangan dengan Wakil Khas Presiden AS, Donald Trump iaitu Steve Witkoff adalah untuk menyokong usaha diplomatik Perdana Menteri dan memperkukuh saluran komunikasi bersama pihak antarabangsa.
Jelasnya, ia bukti bahawa Kerajaan Madani bergerak dalam satu pasukan, bersatu dalam tindakan dan sepakat demi rakyat.
Tambah beliau, sebahagian usaha diplomatik Kerajaan Madani itu juga menumpukan keselamatan bukan sahaja rakyat Malaysia dan Turkiye, tetapi turut melibatkan wakil dari Eropah, Indonesia serta negara-negara lain yang menyertai misi kebebasan flotilla.
"Saya berpendapat misi ini amat berjaya dari sudut meningkatkan kesedaran global bahawa rejim Israel bukan sahaja menentang gerakan pembebasan Palestin dan Gaza, tetapi turut menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas.
"Penghargaan turut diberikan kepada semua pegawai diplomatik dan keselamatan yang bekerja tanpa henti bagi memastikan kepulangan wira-wira kemanusiaan kita disempurnakan dengan selamat.
"Semoga mereka yang dibebaskan diberi kekuatan dan ketenangan selepas melalui ujian getir di bawah kekejaman rejim Zionis. Kejayaan ini mengingatkan kita bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan suara kemanusiaan takkan pernah dapat dibungkam," ujar beliau.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel melalui diplomasi Madani
- Keberhasilan ini menunjukkan kekuatan diplomasi yang berlandaskan prinsip kemanusiaan, keadilan, dan maruah
- Rundingan melibatkan pelbagai negara seperti Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan, dan Amerika Syarikat
- Peserta misi GSF diterbangkan dari Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye untuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan trauma
- Usaha diplomasi ini mencerminkan komitmen Malaysia menolak kezaliman dan mempertahankan hak rakyatnya di pentas dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

