Anwar saran misi kemanusiaan ke Gaza susun semula strategi

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Aktivis yang merancang memulakan pelayaran bagi misi menyampaikan bantuan kemanusiaan di Gaza ketika ini disarankan supaya menyusun semula strategi berdasarkan situasi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi mengelak ditahan rejim Israel sebagaimana berlaku kepada aktivis yang menyertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla Global (GSF) ketika ini.
"Tentunya mereka dihalang juga. Tapi saya fikir untuk keadaan sekarang ini dengan kesan itu, mungkin kita berhenti sekejap. Guna kebijaksanaan kita runding semula, susun semula terutama perjanjian yang cuba dimeterai.
“Ini pun satu hal orang ada menegur kita. Apa yang penting itu selamatkan nyawa orang. Kita kadang-kadang di sini bercakap seolah-olah kita hero yang tak ada batasnya. Semua mahu jadi pahlawan. Tapi yang bertempur di sana itu, (sudah) mengorbankan 65,000 nyawa (penduduk Palestin)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah di Pantai Dalam di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Kementerian Luar memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Tambah Anwar, tanggungjawab semua pihak ketika ini adalah menyelamatkan rakyat Palestin yang ditindas secara kejam oleh Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan serta makanan.
"Itu yang penting. Kalau tercapai ia satu babak permulaan yang sangat penting. Sebab itu dalam permulaan perjanjian damai yang digagaskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak memenuhi semua harapan kita.
"Tapi semua negara Arab, Islam nampaknya memberi restu bukan maknanya mereka setuju, tetapi sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa, harta benda dan melarang memberi ruang bagi rakyat Gaza, jangan diusir keluar dan yang di luar boleh masuk balik.
"Melarang sama sekali apa-apa kemaraan Zionis Israel menakluki Gaza, permulaan ini akan terus pantau dan bersuara," katanya.
Ringkasan AI
- Aktivis disarankan menyusun semula strategi pelayaran bantuan ke Gaza untuk mengelak ditahan rejim Israel
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penangguhan misi pelayaran sementara waktu
- Tindakan ini bertujuan untuk menyelamatkan nyawa dan merundingkan perjanjian damai
- 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan Israel dan akan dihantar pulang
- Tugas utama adalah menyelamatkan rakyat Palestin dan menyalurkan bantuan kemanusiaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

