[VIDEO] Kek coklat resipi cinta Che Puan Sofie untuk suami

SHAH ALAM – Kek coklat hasil air tangan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra menjadi hidangan kegemaran suami tercinta, Tengku Muhammad Fa-iz Petra setiap kali berkesempatan menyediakan masakan di dapur.
Menurutnya, kek coklat tersebut sering dihidang bersama vanila atau aiskrim namun keenakan resipi itu sudah mencukupi untuk dinikmati begitu sahaja.
“Saya suka memasak dan salah satu resipi yang sering saya buat adalah kek coklat untuk suami. Ia ringkas tetapi istimewa, boleh dihidang dengan vanila atau aiskrim,” kongsinya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu pasangan itu hadir dalam lawatan rasminya ke Karangkraf. Turut mengiringi ialah Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin
Mengulas lanjut, Che Puan Sofie mengakui gemar memasak kerana ia memberi kepuasan apabila melihat keluarga menikmati masakannya.
“Saya suka memasak sesuatu yang saya tahu orang lain suka. Itu menyeronokkan bagi saya,” jelasnya.
Mengimbau pengalaman pertama merasai masakan tempatan, Che Puan Sofie berkata, pencuci mulut tradisional Kelantan iaitu akok meninggalkan kenangan manis.
“Akok sangat sedap. Rasanya manis dan mengingatkan saya kepada pankek kerana di Sweden kami sering menikmatinya,” kongsinya
Ujarnya lagi, beliau turut memilih laksam sebagai antara hidangan kegemaran kerana rasanya yang unik.
“Laksam sangat sedap, tidak pedas dan sesuai dengan selera saya,” tambahnya.
Che Puan Sofie juga melihat persamaan antara citarasa Sweden dan Kelantan yang gemar kepada rasa manis.
“Di Sweden, kami ada pankek kentang yang dimakan dengan gula. Di Kelantan juga banyak masakan manis dan saya sukakannya,” ujarnya.
Menariknya, beliau tidak ketinggalan menggabungkan resipi keluarganya dengan cita rasa tempatan.
“Di Sweden, kami guna krim masak dalam kari tetapi di Malaysia lebih banyak gunakan santan. Saya cuba sesuaikan dengan santan dan hasilnya jadi campuran yang baik,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi masih mengekalkan resipi keluarga dari Sweden seperti sup kacang hijau dan bebola daging yang menjadi kegemaran di rumah.
Malah, beliau tidak menolak hasrat untuk menghasilkan sebuah buku masakan gabungan Sweden dan Kelantan pada masa hadapan.
“Sudah tentu ia dekat di hati saya. Gabungan kedua-dua budaya ini dalam buku masakan akan menjadi sesuatu yang menarik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menitipkan pesanan kepada generasi muda agar terus menghargai warisan dapur tradisional.
“Masaklah dari hati kerana itulah yang menjadikan sesuatu hidangan istimewa,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Resipi kek coklat Che Puan Sofie Louise Johansson Petra menjadi hidangan kegemaran suami
- Che Puan Sofie gemar memasak dan mengakui kepuasan melihat keluarga menikmati masakannya
- Beliau berkata akok dan laksam menjadi antara hidangan kegemaran kerana kenangan dan rasa unik masing-masing
- Che Puan Sofie menggabungkan resipi keluarga dari Sweden dengan cita rasa tempatan
- Beliau berhasrat menghasilkan buku masakan gabungan Sweden dan Kelantan di masa hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

