Nahas Plaza Tol Bukit Kajang: Polis masih tunggu laporan pakar

SHAH ALAM – Polis masih menunggu laporan teknikal daripada pakar berhubung kemalangan melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi lelaki serta mencederakan tujuh mangsa lain, 27 September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), namun ia dikembalikan dengan arahan supaya laporan teknikal diperoleh terlebih dahulu sebelum arahan selanjutnya diberikan.
"Kes ini melibatkan agensi teknikal yang perlu memberikan laporan akhir sama ada berkaitan pertuduhan atau sebaliknya.
"Suspek telah diberi jaminan sementara polis melengkapkan siasatan dengan menunggu laporan pakar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.
Katanya, setakat ini polis telah merakam keterangan daripada semua pihak berkaitan dan hanya menunggu dokumen pakar sebelum keseluruhan siasatan dapat dilengkapkan.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini memaklumkan pihaknya telah menyiapkan laporan siasatan termasuk semakan semula Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat pengendali lori berkenaan.
Laporan tersebut sudah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pemandu lori itu dipercayai melompat keluar daripada lorinya selepas mendakwa mengalami masalah brek sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.
Ringkasan AI
- Polis menunggu laporan teknikal dari pakar berhubung kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa bayi dan mencederakan tujuh mangsa
- Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya tapi dikembalikan untuk memperoleh laporan teknikal
- Suspek diberikan jaminan sementara menunggu hasil laporan pakar
- Polis telah merakam keterangan semua pihak berkaitan dan menunggu dokumen pakar untuk melengkapkan siasatan
- Masalah brek lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

