'Tolonglah pasang kerusi kanak-kanak demi keselamatan' - Anthony Loke

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengekalkan pendiriannya berhubung kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan demi keselamatan penumpang cilik.
Beliau menegaskan, Kementerian Pengangkutan akan mempergiatkan kempen kesedaran penggunaan kerusi berkenaan susulan kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun selepas tercampak keluar dari kenderaan, Sabtu lalu.
“Sebagai menteri, apa sahaja yang kita buat akan dikritik. Jadi tidak mengapa, saya bersabar. Nak kecam atau marah, saya boleh terima.
“Saya kekal dengan pendirian untuk mengingatkan mengenai kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak. Anda boleh kritik saya, tetapi jangan lupa kalau ada kanak-kanak di dalam kereta, tolonglah pasang kerusi kanak-kanak demi keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai program BUDI Madani RON95 (BUDI95) di Kementerian Pengangkutan, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Anthony dilapor memaklumkan siasatan awal pihak berkuasa mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam CRS ketika kejadian, menyebabkan mangsa tercampak keluar dan tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Kemalangan itu membabitkan empat kenderaan yang mengorbankan seorang bayi, manakala lapan lagi cedera.
Dalam pada itu, Anthony berkata, kementeriannya akan mengadakan sidang media khas berhubung kes tersebut selepas perbincangan terperinci dilakukan.
Ringkasan AI
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan
- Kementerian Pengangkutan akan mempergiatkan kempen kesedaran tentang penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak
- Anthony Loke mengekalkan pendirian meskipun menerima kritikan demi keselamatan penumpang cilik
- Terdahulu, bayi yang tidak diletakkan dalam kerusi keselamatan meninggal dunia dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang
- Kementerian Pengangkutan akan mengadakan sidang media khas mengenai kejadian kemalangan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
