Pasport palsu 'makanan Bangla' tumpas

Sindiket penipuan pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menggunakan pasport palsu ditumpaskan menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang Selasa lalu.
Sindiket penipuan pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menggunakan pasport palsu ditumpaskan menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang Selasa lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penipuan pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menggunakan pasport palsu ditumpaskan menerusi serbuan di sekitar Lembah Klang Selasa lalu.

Serbuan Op Serkap dijalankan di beberapa premis di sekitar Kepong, Cheras, Pudu dan Puchong bermula jam 6 petang oleh Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan selama tiga bulan itu berjaya menangkap tiga lelaki warga Bangladesh berumur lingkungan antara 21 hingga 40 tahun.

Menurutnya, dua wanita dan satu lelaki tempatan telah diberi saman saksi untuk tujuan siasatan.

Pegawai JIM menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing untuk siasatan kes pemalsuan pasport. FOTO: JIM
Pegawai JIM menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing untuk siasatan kes pemalsuan pasport. FOTO: JIM

"Modus operandi sindiket ialah membuat penipuan pemeriksaan kesihatan bagi pelanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Ketua sindiket akan menghantar maklumat pekerja syarikat beserta gambar ukuran pasport kepada ahli sindiket bagi tujuan mencetak pasport palsu sebelum diberikan kepada ahli sindiket untuk ke klinik ditetapkan di borang FOMEMA.

"Disyaki sindiket telah beroperasi selama hampir satu tahun tiga bulan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sindiket mengedarkan pasport palsu berkenaan menggunakan khidmat penghantar makanan.

Tambah Zakaria, bagi mengaburi pihak berkuasa dan pihak khidmat penghantar makanan, sindiket membungkus pasport berkenaan menggunakan pembungkus polisterin dengan tanda panggilan (call sign) 'makanan Bangla' bagi setiap kali penghantaran.

Katanya, sindiket mengenakan bayaran dalam lingkungan RM350 hingga RM450 untuk setiap pekerja syarikat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

"Operasi ini berjaya merampas 30 naskhah pasport disyaki palsu yang telah siap untuk diedar terdiri daripada pelbagai negara iaitu Bangladesh, Indonesia serta Myanmar selain 14 helaian borang FOMEMA. Turut dirampas satu unit komputer riba, dua unit mesin pencetak serta pelbagai barangan kecil untuk menyediakan pasport," ujarnya.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pemalsuan dokumen, penyamaran, tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Seksyen 12(1)(a) dan seksyen 12 1(b) Akta Pasport 1966, Seksyen 55E, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Sindiket penipuan pemeriksaan FOMEMA dengan pasport palsu ditumpas di Lembah Klang
  • Pasukan Taktikal Khas Imigresen menahan tiga lelaki warga Bangladesh
  • Dua wanita dan seorang lelaki tempatan diberi saman saksi
  • Sindiket menjual perkhidmatan penipuan kesihatan untuk PLKS menggunakan pasport palsu
  • Operasi sindiket melibatkan penggunaan penghantar makanan untuk edaran pasport palsu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!