Covid-19: Perlis umum 17 insentif bantu kurang beban rakyat

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis hari ini mengumumkan 17 insentif bagi membantu mengurangkan beban rakyat terutama mereka yang hilang punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Perikatan Nasional/Pusat Khidmat Menteri Besar di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyediakan keperluan bekalan makanan asas harian setiap hari sepanjang tahun kepada rakyat yang menghadapi kesulitan hidup termasuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Program Agihan Makanan Asas (PAMA).

"Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diberikan peruntukan RM10,000 secara 'one-off' untuk pelbagai bantuan segera kepada rakyat di kawasan DUN masing-masing.

"Bagi sewaan gerai bulan Mac pula, potongan sebanyak 50 peratus diberikan kepada semua peniaga kecil (gerai/meja jualan) yang menyewa gerai Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis, Bahagian Pentadbiran Daerah dan Bahagian Perumahan yang keseluruhannya memberi manfaat kepada 1,487 peniaga kecil/gerai jualan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengurangkan bayaran sewa bulanan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak 50 peratus bagi Mac dan April.

"Bayaran itu juga ditangguhkan sehingga bulan Mei," katanya.

Tambahnya, bagi Rancangan Perumahan Awam (RPA) pula, kerajaan negeri turut bersetuju menangguhkan bayaran ansuran sewa beli bagi bulan Mac dan April.

"Dalam pada itu Skim Galakan Pembayaran Cukai Tanah dilanjutkan dengan rebat lapan peratus bagi tanah pertanian, lima peratus bagi tanah bangunan dan tiga peratus bagi tanah industri sehingga 31 Mei melibatkan 40,000 pemilik tanah.

Artikel Berkaitan:

"Pengecualian sewa tapak bagi pasar malam dan pasar sehari di bawah kelolaan MPK bagi bulan April ataupun bulan berikutnya setelah tamat PKP yang memberi manfaat kepada 2,104 peniaga," katanya.

Azlan berkata, bantuan pemasaran produk pertanian turut diberikan melalui Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu memasarkan produk pertanian komoditi terpilih termasuk harumanis secara online bagi petani yang menghadapi kesukaran pemasaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memperuntukkan sebanyak RM174,500 untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan makanan asas dalam tempoh PKP di bawah Program ‘Ziarah Dakwah Bil Hal’ yang memberi manfaat kepada 3,490 keluarga.

"Bagi pembayaran balik pinjaman pelajaran, kerajaan negeri menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran di bawah kerajaan Perlis bagi bulan Mac dan April," katanya.

Katanya, bayaran bantuan kebajikan bulanan kepada kesemua 8,775 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Perlis dipercepatkan sebelum 25 Mac melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.4 juta.

"Selain itu, setiap pesakit positif Covid-19 di Perlis akan diberikan bantuan 'one-off' sebanyak RM1,000 seorang selain sumbangan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

"Kerajaan negeri turut menyediakan makanan dan keperluan asas harian lain kepada 'frontliner' dan pesakit dalam siasatan (PUI) di pusat-pusat kuarantin Covid-19 yang diselaraskan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman secara percuma kepada semua frontliner dan individu-individu yang memerlukan di pusat-pusat edaran yang ditetapkan setelah stok diterima.

"Bagi kakitangan awam di bawah Skim Pekerja Sambilan Harian (PSH) dan Pekerja Pembersihan PPRT akan dibayar gaji penuh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Kita akan mempercepatkan tarikh pembayaran gaji kepada 1,200 kakitangan awam negeri Perlis pada 23 Mac ini," katanya.