Sorok dadah dalam sabun pencuci, e-bike dan rokok

SEPANG – Cubaan menyembunyikan dadah dalam bungkusan sabun pencuci antara taktik yang dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi siri operasi sepanjang Ogos hingga September lalu.
Selain itu, rampasan lain sepanjang tempoh berkenaan turut melibatkan basikal elektrik tanpa permit serta rokok putih tidak berkastam.
Pengarah JKDM Kuala Lumpur, Zulkifli Muhammad berkata, serbuan pada 18 September di sebuah gudang Free Commercial Zone (FCZ) KLIA menemukan bungkusan mencurigakan yang disyaki mengandungi dadah.
"Hasil pemeriksaan mendapati ia berisi kristal disyaki syabu seberat kasar 1,368.2 gram dengan nilai lebih RM68,000.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, taktik menyembunyikan syabu dalam sabun pencuci adalah antara modus operandi sindiket bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Selain kes berkenaan, Zulkifli berkata, JKDM turut menyita 33 unit basikal elektrik (e-bike) tanpa permit dalam serbuan pada 14 Ogos di sebuah premis perniagaan selepas menerima aduan awam.
"Pemeriksaan mendapati tiada dokumen import dan kelulusan daripada MITI ditemui.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Tambahnya, dalam satu lagi operasi pada 8 Ogos, pihaknya berjaya menemukan 464,000 batang rokok putih pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam di gudang sama.
"Rampasan itu dilakukan melalui dua Airway Bill berbeza dengan nilai termasuk cukai mencecah RM357,280.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan, nilai rampasan melibatkan e-bike, rokok dan dadah terbabit termasuk cukai serta duti dianggarkan RM482,499.16.
"Siri rampasan itu membuktikan pihak kami konsisten memperketat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan hasil negara, malah mengancam keselamatan rakyat.
"Orang ramai diminta agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat JKDM terdekat.
"Identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan kerjasama orang awam amat penting dalam membantu usaha kami membanteras kegiatan ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Cubaan menyembunyikan dadah dalam bungkusan sabun pencuci dibongkar JKDM di KLIA
- Rampasan melibatkan basikal elektrik tanpa permit dan rokok putih tidak berkastam
- Pengendalian dadah disyaki syabu seberat 1,368.2 gram dengan nilai lebih RM68,000
- Serbuan mengakibatkan penyitaan 33 unit basikal elektrik dan 464,000 batang rokok putih tidak berkastam
- Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan duti adalah RM482,499.16
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

