Polis minta saksi kemalangan trak tentera tampil salur maklumat

KUALA KANGSAR - Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan maut melibatkan sebuah trak tentera di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada Rabu supaya tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, mangsa, Koperal Mohamad Ruzaini Md Shariff, 32, yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala enam yang lain termasuk pemandu cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.20 petang sebelum sepasukan anggota polis bersama pasukan bomba dan penyelamat digerakkan ke lokasi.
"Siasatan awal mendapati trak tentera milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinaiki tujuh anggota tentera hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
"Keadaan itu mengakibatkan kenderaan tersebu terbalik dan terjunam ke dalam gaung sedalam enam meter," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mengalami cedera parah dan empat cedera ringan.
"Lima mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan seorang lagi dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222.
Sementara itu, jenazah mangsa yang maut dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi selepas selesai proses bedah siasat.
Jenazah kemudian dibawa ke kampung halamannya di Taman Permai Jaya, Kuala Ketil, Kedah untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu, trak tentera berkenaan dilaporkan sedang menuruni laluan berbukit berhampiran Terowong Menora sebelum hilang kawalan lalu terbabas.
End
Ringkasan AI
- Polis meminta bantuan orang ramai untuk siasatan kemalangan maut trak tentera di Kuala Kangsar
- Seorang anggota tentera meninggal dunia dan enam cedera dalam kemalangan itu
- Trak tentera hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung sedalam enam meter
- Kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan trak sedang menuruni laluan berbukit
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

