Pelajar 14 tahun buat aksi bahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang ditahan

Tangkap layar video memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Tangkap layar video memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang.
A
A
A

NIBONG TEBAL- Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas aksinya menunggang motosikal secara berbahaya di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu klip video yang dimuat naik di laman Facebook sebuah portal memaparkan seorang penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya dari Batu Maung menghala ke Batu Kawan.

“Dalam rakaman tersebut, suspek dilihat menunggang motosikal sambil mengangkat kaki, meniarap di atas motosikal serta menundukkan kepala.

"Tindakan ini bukan sahaja membahayakan dirinya sendiri, malah turut mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibupejabat Polis Daerah SPS telah berjaya mengesan individu terbabit sebelum remaja berkenaan tampil menyerah diri di IPD Seberang Perai Selatan pada jam 10.30 malam, Selasa.

“Suspek kini ditahan bersama motosikal yang digunakan untuk tujuan siasatan lanjut.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

"Polis kini sedang mengesan beberapa lagi penunggang motosikal lain yang dipercayai turut terlibat dalam insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan menunggang secara berbahaya adalah satu kesalahan serius dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” tegasnya.

Sebelum ini tular di media sosial klip video berdurasi 20 saat memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Jambatan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Tindakan remaja lelaki tersebut dirakam penumpang sebuah kereta dipercayai pada dua hari lalu.

Ringkasan AI

  • Polis menahan pelajar lelaki 14 tahun atas aksi berbahaya menunggang motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
  • Aksi nekad remaja tular di media sosial selepas klip video dimuat naik ke Facebook
  • Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou, memaklumkan tindakan itu membahayakan pengguna jalan raya lain
  • Remaja tampil menyerah diri dan motosikal digunakan untuk siasatan lanjut, suspek negatif dadah
  • Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis tidak berkompromi dengan tindakan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!