Lelaki tumbuk, ugut tikam bekas tunang diberkas

AMPANG – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas bertindak menyerang dan mengugut bekas tunangnya di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang wanita berusia 21 tahun hadir membuat laporan berkaitan kes itu.
"Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, pengadu telah pergi ke rumah bekas tunangnya untuk mengambil barang peribadi.
"Sampai kediaman tersebut, suspek telah bertindak agresif dengan memarahi wanita itu, membaling barang, menumbuk serta menendang di bahagian kepala dan belakang badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, suspek juga mengugut untuk menikam bekas tunangnya.
"Pengadu yang juga pembantu pentadbiran itu telah mengalami kesakitan di belakang badan dan kepala," katanya.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah memberkas suspeek pada jam 1.20 pagi Selasa.
"Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama," ujarnya.
Ringkasan AI
- Lelaki ditahan selepas menyerang dan mengugut bekas tunangnya di Ampang
- Wanita berumur 21 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu
- Suspek bertindak agresif, membaling barang dan menyerang mangsa ketika dia mengambil barang peribadinya
- Suspek mengugut untuk menikam bekas tunangnya
- Suspek, yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, direman selama empat hari untuk siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
