X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Britain senasib Itali?

Orang ramai membuat pembelian panik di sebuah pasar raya di London akibat penularan Covid-19. - Foto Agensi
A
A

LONDON - Britain mungkin mengalami nasib sama seperti Itali dalam tempoh dua minggu akan datang apabila negara itu mencatatkan peningkatan drastik kes jangkitan dan kematian akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Boris Johnson memberi amaran itu selepas jumlah kematian di United Kingdom (UK) meningkat kepada 233 orang iaitu angka sama direkodkan di Itali pada 7 Mac lalu.

Susulan itu, Johnson merayu kepada penduduk Britain supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak.

"Angka bertambah dengan pantas dan kita hanya dua atau tiga minggu ketinggalan di belakang Itali kecuali jika kita bertindak bersama-sama dan berani serta kolektif untuk memperlahankan penularan wabak.

"Jika tidak, mungkin NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) akan tumpas," katanya.

Kelmarin, Itali mengatasi China sebagai negara paling terjejas akibat Covid-19.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan langkah lebih ketat untuk memerangi wabak termasuk penutupan sekolah, restoran dan pub serta meminta orang ramai menjaga jarak sosial.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Tempatan, Robert Jenrick dalam satu kenyataan menggesa kira-kira 1.5 juta penduduk Britain yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi supaya berkurung di rumah sekurang-kurangnya 12 minggu.

"Mereka yang menghidap penyakit kritikal seperti kanser tulang atau darah, cystic fibrosis atau penerima organ dinasihatkan berkurung dalam tempoh yang lebih lama," katanya.

Katanya, talian telefon khas dan penghantaran barangan runcit serta ubat-ubatan untuk kumpulan itu akan diumumkan tidak lama lagi. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus