Jangan biar penutup longkang pula ragut nyawa

PBT digesa melancarkan audit menyeluruh terhadap penutup longkang dan kumbahan di kawasan mereka.
PBT digesa melancarkan audit menyeluruh terhadap penutup longkang dan kumbahan di kawasan mereka.
A
A
A

KES seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter selepas terpijak penutup lubang jenis fiber di sekolah berkenaan pada Sabtu lalu adalah tragedi yang cukup menyayat hati.

Insiden ini bukan sekadar kecuaian kecil, tetapi menunjukkan ada kelemahan serius dalam aspek penyelenggaraan asas yang sepatutnya melindungi keselamatan orang ramai.

Hakikatnya, bukan sedikit penutup longkang dan lubang kumbahan di taman-taman perumahan, kawasan awam, bahkan berhampiran sekolah, yang sudah reput, pecah atau tidak dibaiki.

Ada juga yang hilang langsung, dibiarkan terbuka dan menunggu masa mengundang tragedi. Setiap kali perkara sebegini berlaku, nyawa yang tidak berdosa menjadi taruhan.

Pihak berwajib tidak boleh menunggu aduan baru mahu bertindak. Keselamatan orang awam, terutama kanak-kanak, memerlukan pemeriksaan berkala dan tindakan proaktif.

Kelemahan penyelenggaraan asas ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah tanggungjawab asas pihak berkuasa kepada rakyat.

Masyarakat pula wajar memainkan peranan melaporkan segera mana-mana penutup yang rosak atau berbahaya agar tindakan pantas dapat diambil.

Jangan sampai ada lagi anak kecil menjadi korban hanya kerana kecuaian yang boleh dielakkan. Nyawa manusia tidak boleh diganti dengan alasan bajet atau kelewatan prosedur.

Kita mendesak agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melancarkan audit menyeluruh terhadap penutup longkang dan kumbahan di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang, ada perumahan baharu yang sudah pun menampakkan kelemahan apabila penutup longkang tidak berkualiti dan mudah pecah.

Hal ini menimbulkan persoalan tentang pemantauan kontraktor dan piawaian kerja yang diluluskan pihak berkuasa. Jika aspek asas sebegini pun longgar, bagaimana pula isu lain yang lebih besar?

PBT juga harus sedar bahawa isu keselamatan awam bukan sekadar soal teknikal, tetapi melibatkan kepercayaan masyarakat kepada mereka. Setiap tragedi yang berlaku menghakis keyakinan rakyat.

Kita menyeru supaya tragedi ini tidak hanya berakhir dengan ucapan takziah dan janji manis, tetapi benar-benar menjadi titik perubahan.

Langkah pencegahan yang menyeluruh mesti dilakukan segera, kerana nyawa rakyat khususnya anak-anak kita jauh lebih berharga daripada sekadar penutup longkang yang sering dipandang remeh.

Ringkasan AI

  • Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter kerana penutup lubang jenis fiber pecah
  • Penutup longkang dan lubang kumbahan yang rosak atau hilang di tempat awam menunjukkan kelemahan serius dalam penyelenggaraan
  • Keselamatan orang ramai, khususnya kanak-kanak, memerlukan pemeriksaan berkala dan tindakan proaktif daripada pihak berwajib
  • Masyarakat harus melaporkan penutup yang rosak atau berbahaya untuk tindakan pantas pihak berkuasa
  • Pihak berkuasa tempatan diperlukan untuk melakukan audit menyeluruh terhadap penutup longkang dan kumbahan serta meningkatkan pemantauan terhadap standard kerja kontraktor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!