Cadang tubuh Felo Kenegaraan, bantu rangka agenda negara bangsa - PM

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani berhasrat untuk menubuhkan Felo Kenegaraan bagi menghimpunkan tokoh dan pakar pelbagai bidang sebagai rakan strategik kerajaan untuk merangka agenda besar pembinaan negara bangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, perkara itu antara agenda Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipengerusikan beliau di Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu diharap dapat terus memperkukuh latihan kenegaraan dan memperkasakan usaha pembinaan negara bangsa selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
"Penubuhan Felo Kenegaraan ialah satu inisiatif penting yang menghimpunkan tokoh daripada pelbagai latar belakang merangkumi bidang akademik, profesional, belia, kepimpinan masyarakat, seni budaya dan lain-lain.
"Melalui wadah ini, para felo bukan sahaja berperanan sebagai pemikir dan penggerak idea kenegaraan, tetapi juga sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam merangka agenda besar pembinaan negara bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan Madani bercadang menubuhkan Felo Kenegaraan
- Inisiatif ini bertujuan mengumpul pakar pelbagai bidang sebagai rakan strategik
- Ia dilakukan untuk membantu merangka agenda pembinaan negara bangsa
- Felo Kenegaraan menghimpunkan tokoh dari bidang akademik, profesional, dan lain-lain
- Ini bertujuan memperkuat latihan kenegaraan dan menyokong usaha Malaysia Madani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
