PM arah KPT bincang dengan KPM pastikan Bahasa Melayu, Sejarah diutamakan

Anwar mempengerusikan mesyuarat berkenaan semakan semula mata pelajaran pengajian umum di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto Pejabat Perdana Menteri
Anwar mempengerusikan mesyuarat berkenaan semakan semula mata pelajaran pengajian umum di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diberikan keutamaan, termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata, arahan itu adalah sebahagian daripada cadangan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pagi Selasa.

"Semakan ini penting untuk menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan MPU agar lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme,” katanya dalam catatan terbaharu di platform media sosial.

Perdana Menteri berkata, cadangan semakan semula MPU dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Pertahanan melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU.

Anwar berkata, pelaksanaan MPU yang disemak semula itu juga akan diperluas bukan sahaja di universiti awam dan swasta tetapi turut meliputi semua institut latihan di negara ini.

Beliau berkata, usul itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah memperkukuh kesedaran kebangsaan demi melahirkan generasi berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk memberi keutamaan pada subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah
  • Arahan tersebut adalah bagi tujuan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU)
  • Semakan MPU bertujuan meningkatkan kandungan dan pendekatan pelajaran untuk membina nilai kenegaraan dan patriotisme
  • Cadangan semakan semula MPU melibatkan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk sarjana dan agensi kerajaan
  • Pelaksanaan MPU yang disemak semula akan diperluas ke semua universiti dan institut latihan di Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!