MPM jalankan pemeriksaan suhu di pasar awam


Pemeriksaan suhu dijalankan MPM ke atas pengunjung Pasar Awam Seri Manjung hari ini.
Pemeriksaan suhu dijalankan MPM ke atas pengunjung Pasar Awam Seri Manjung hari ini.
A
A
A

MANJUNG - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemeriksaan suhu ke atas setiap pengunjung pasar awam, bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, tindakan itu sebagai satu usaha kawalan mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) terutama di kawasan pasar yang masih menjadi tumpuan orang ramai.

"Cadangan ini telah lama kita rancang, namun dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk mendapatkan bekalan alat pengesan suhu di pasaran.

"Jadi untuk permulaan, kita hanya dapat membekalkan tiga unit alat pengesan suhu kepada anggota penguat kuasa menjalankan operasi ini di pasar awam terpilih," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, operasi pemeriksaan suhu hari ini dimulakan di Pasar Awam Seri Manjung melibatkan lebih 400 orang.

Orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Seri Manjung menjalani pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar.
Orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Seri Manjung menjalani pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar.

Katanya, ia akan diteruskan ke pasar-pasar awam di bawah selian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu secara berperingkat memandangkan bekalan peralatan yang terhad.

"Pengunjung memberikan kerjasama dan respons yang baik atas usaha ini dan alhamdulillah daripada pemeriksaan tadi, tiada sebarang gejala wabak ditemui.

Artikel Berkaitan:

"MPM kini sedang berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya 10 lagi tambahan alat pengesan suhu untuk memudahkan operasi sama dilakukan di pasar awam yang lain seperti di Ayer Tawar, Sitiawan, Pantai Remis, Beruas dan Kampung Koh," katanya.

Dalam perkembangan sama, Syamsul Hazeman berkata, MPM turut melaksanakan kawalan ketat dengan hanya membenarkan pengunjung yang memakai topeng muka masuk ke dalam pasar.

Menurutnya, setiap pengunjung diberikan tempoh berurus niaga selama 15 minit sahaja dengan kapasiti 30 orang dibenarkan masuk untuk satu-satu jangka masa.

"Bagi memastikan kawalan ini dipatuhi, hanya satu pintu masuk dan keluar dibuka di semua pasar awam. Pengunjung yang menanti giliran pula diwajibkan mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya dua meter.

"Semua langkah pematuhan ini digerakkan bagi memastikan tiada kes-kes penularan baru berlaku di daerah ini," katanya.

Orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Seri Manjung diwajibkan mengamalkan jarak selamat.
Orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Seri Manjung diwajibkan mengamalkan jarak selamat.

Terdahulu, Syamsul Hazeman mengadakan pemantauan di Pasar Awam Seri Manjung, Sitiawan dan Ayer Tawar dengan memberi penerangan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.