Saman fitnah isu Kampung Sungai Baru: Rafidah masukkan kehadiran

Khalid dan Rafidah
Khalid dan Rafidah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pelakon, Rafidah Ibrahim dibenar memasukkan kehadiran di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin berhubung kes saman fitnah oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkaitan isu Kampung Sungai Baru.

Peguam, Zulhazmi Shariff yang mewakili Khalid berkata, Rafidah selaku defendan telah memasukkan notis kehadiran melalui Tetuan Zharif Nizamuddin yang baru dilantik.

Selepas pengurusan kes saman itu dijalankan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Syalia Ain Zainuddin, peguam tersebut berkata, anak guamnya membantah permohonan berkenaan kerana ia dibuat melebihi tempoh yang ditetapkan.

“Kami memohon untuk meneruskan permohonan penghakiman ingkar terhadap defendan.

No Image Caption

“Bagaimanapun, mahkamah menerima permohonan defendan mengikut Aturan 12 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012,” katanya.

Pada Ahad, Khalid memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Rafidah dengan alasan defendan gagal memasukkan notis kehadiran di mahkamah.

Defendan sepatutnya memfailkan kehadiran atau melantik peguam sebelum Jumaat lalu untuk menjawab saman fitnah yang difailkan terhadapnya.

Semakan portal menunjukkan afidavit penyampaian ganti melalui penampalan writ saman dan pernyataan tuntutan telah diletakkan di Papan Kenyataan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan di alamat terakhir defendan pada 13 dan 14 Ogos lalu serta difailkan pada 20 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 8 Mei lalu, Khalid menegaskan bahawa pada 14 April, defendan bertanggungjawab menyebabkan tersiarnya satu video di akaun TikTok miliknya yang mengandungi pernyataan tidak benar, tidak berasas, bersifat fitnah serta memburuk-burukkan plaintif.

Plaintif menegaskan selepas video itu tersebar, defendan masih mengulangi pernyataan yang sama dan pada 21 April lalu, defendan sekali lagi menyebabkan tersiarnya video di akaun TikTok tersebut.

Menurut Khalid, video yang dimuat naik defendan secara langsung memberikan gambaran buruk, tidak benar, melulu, kasar dan bersifat fitnah terhadap dirinya.

Ini kerana plaintif hanya memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dari 2 Julai 2018 hingga 24 Februari 2020 sahaja.

Plaintif juga menegaskan tidak pernah ada sebarang cadangan atau keputusan pada ketika itu untuk menghapuskan tanah rizab Melayu, sama ada di Kampung Sungai Baru mahupun di keseluruhan Kampung Baru.

Ringkasan AI

  • Rafidah Ibrahim dibenar memasukkan kehadiran di mahkamah berhubung kes saman fitnah oleh Khalid Abdul Samad
  • Notis kehadiran Rafidah difailkan melalui peguam baru
  • Khalid membantah permohonan Rafidah kerana ia dibuat melebihi tempoh yang ditetapkan
  • Mahkamah menerima permohonan defendan mengikut Aturan 12 Kaedah 5
  • Khalid mendakwa Rafidah menyebarkan video fitnah melalui TikTok mengenai isu Kampung Sungai Baru

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!