Hubungan baik mudahkan Malaysia terima bantuan pelbagai negara

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keakraban hubungan luar Malaysia dengan banyak negara memudahkan negara ini menerima bantuan dalam usaha memerangi koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, dalam situasi sekarang Malaysia bukan sahaja tidak berkira membantu negara lain tetapi juga bersikap terbuka untuk menerima bantuan daripada mana-mana pihak yang ikhlas membantu.

"Wisma Putra misalnya, sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan China. Keakraban inilah yang membuatkan China tanpa ragu menghulurkan bantuan peralatan perubatan (seperti) topeng hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman, kit ujian Covid-19 dan peralatan perlindungan untuk kegunaan barisan hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia juga sentiasa bekerjasama rapat dengan negara jiran seperti Indonesia bagi berkongsi maklumat serta membantu mengenal pasti rakyat Malaysia yang hadir perhimpunan tabligh di republik itu baru-baru ini.

Katanya, Malaysia juga berganding bahu dengan Singapura demi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu yang sebahagiannya terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan selain sentiasa berhubung dengan rakan negara di Timur Tengah bagi mendapatkan pertolongan memerangi Covid-19.

“Saya secara peribadi, tidak sangka Malaysia akan mendapat bantuan yang sebegini banyak daripada pelbagai negara. Saya percaya, ia bukanlah disebabkan saya Menteri Luar Negeri.

“Tetapi kerana pengiktirafan dan penghormatan mereka di luar sana terhadap Malaysia serta menganggap Malaysia sebagai rakan akrab dalam komuniti antarabangsa,” katanya.

Hishammuddin turut mengingatkan masyarakat supaya berdisiplin dan bersatu dalam mematuhi PKP yang bertujuan mengurangkan pergerakan sekali gus mengekang penularan virus itu.

Artikel Berkaitan:

"Tiada gunanya Malaysia menerima pelbagai bantuan, tetapi pada masa yang sama, sebahagian rakyat tidak patuh perintah kerajaannya sendiri," katanya.

Tambahnya, Wisma Putra juga sedang bertungkus lumus mencari penyelesaian untuk membawa rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara, walaupun mengetahui terdapat segelintir pihak tidak bersetuju kerana bimbang meningkatkan risiko Covid-19.

"Negara ini milik mereka juga. Jadi mereka ada hak untuk pulang ke tanah air pada bila-bila masa. Pun begitu, saya juga mahu mengingatkan mereka yang dibawa pulang apabila tiba di Malaysia, patuhilah PKP," katanya. - Bernama