EBP7 bangunkan taman perindustrian bersepadu, hab komersial sokongan di MVV 2.0

Pengambilalihan kira-kira 1,195 ekar tanah pegangan bebas di Port Dickson, Negeri Sembilan itu untuk membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu bersama hab komersial sokongan di dalam kawasan Parcel C di MVV 2.0.
Pengambilalihan kira-kira 1,195 ekar tanah pegangan bebas di Port Dickson, Negeri Sembilan itu untuk membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu bersama hab komersial sokongan di dalam kawasan Parcel C di MVV 2.0.
A
A
A

SHAH ALAM - Eco Business Park 7 Sdn Bhd (EBP 7) mengumumkan pengambilalihan kira-kira 1,195 ekar tanah pegangan bebas di Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan daripada SD Guthrie Berhad (Guthrie).

Syarikat bertujuan khas yang mewakili Eco World Development Group Berhad (EcoWorld), Guthrie dan NS Corporation (NS Corp) itu telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) pada 18 April lalu dengan jumlah nilai tunai sebanyak RM572.76 juta.

Guthrie dalam satu kenyataan media memberitahu, perkembangan tersebut memberi laluan kepada EBP 7 untuk membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu bersama hab komersial sokongan di dalam kawasan Parcel C di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

“Anak syarikat milik penuh EcoWorld, Eco World Project Management Sdn Bhd itu telah dilantik sebagai pengurus pembangunan projek yang terletak di koridor ekonomi utama di pantai barat Semenanjung tersebut.

“Dengan kedudukan strategik di MVV 2.0, taman perindustrian baharu berkenaan dijangka mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.95 bilion dan merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memacu pembangunan mampan di Negeri Sembilan,” katanya.

Ia bakal dihubungkan melalui Lebuhraya Nilai-Labu yang telah dicadangkan, seterusnya memberi akses kepada infrastruktur dan hab logistik utama yang lebih besar.

Antaranya seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang, Nilai dan koridor pantai barat melalui Lebuhraya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Akses tersebut sekali gus menawarkan ketersambungan dan kelebihan logistik yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan.

Pada masa sama, projek berkenaan disasarkan untuk menarik pelaburan tempatan dan asing bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta merangsang agenda pertumbuhan ekonomi di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

MVV 2.0 yang dilancarkan pada Disember 2018 merangkumi enam kawasan pembangunan seluas kira-kira 380,000 ekar merentasi daerah Seremban dan Port Dickson selain direka bentuk untuk melengkapi pertumbuhan kawasan Kuala Lumpur Raya.

EcoWorld memegang 55 peratus kepentingan dalam EBP 7 manakala anak syarikat milik penuh Guthrie, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd (SDGLV) memegang 30 peratus saham, sementara baki 15 peratus saham dipegang oleh NS Corp.

Ketiga-tiga rakan kongsi tersebut telah menandatangani Memorandum Persefahaman pada 18 Disember 2024 untuk menubuhkan EPB7.

Ringkasan AI

  • EBP 7 mengambil alih 1,195 ekar tanah di Mukim Jimah, Port Dickson dari Guthrie
  • Perjanjian Jual dan Beli bernilai RM572.76 juta ditandatangani
  • Taman perindustrian bersepadu akan dibangunkan di Malaysia Vision Valley 2.0
  • Taman perindustrian itu dijangka mempunyai GDV sebanyak RM2.95 bilion
  • Projek ini bertujuan menarik pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!