Rayuan isu Kampung Sungai Baru, bakar dan bunuh kekasih antara kes menarik minggu ini

Situasi di Kampung Sungai Baru ketika operasi pengosongan baru-baru ini.
Situasi di Kampung Sungai Baru ketika operasi pengosongan baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima kes menarik antaranya rayuan isu tanah Kampung Sungai Baru akan berlangsung di beberapa mahkamah minggu ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Klang menetapkan Isnin untuk mengetahui status representasi seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil dalam kejadian kebakaran di Sungai Besar, dua tahun lalu.

 

Muhammad Fakrul Aiman (tengah) diiringi polis dibawa ke mahkamah. Gambar fail
Muhammad Fakrul Aiman (tengah) diiringi polis dibawa ke mahkamah. Gambar fail

Hakim, Norliza Othman membuat ketetapan itu selepas peguam, Muhammad Nor Tamrin memaklumkan anak guamnya, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Susulan itu, peguam berkenaan berkata, pembelaan menghantar representasi dan masih menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara.

Pada 1 Jun 2023, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei tahun sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, keputusan rayuan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang dijangka diketahui pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lip Eng membayar jumlah itu selepas membenarkan saman fitnah syarikat berkenaan.

Lip Eng kemudiannya memfailkan rayuan serta permohonan penangguhan keputusan, namun ditolak Mahkamah Tinggi.

MonSpace dan Jessy Lai memfailkan saman pada 2019 kerana mendakwa Lip Eng membuat kenyataan fitnah yang mencemarkan reputasi mereka.

Sementara itu, pada Selasa, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dijangka membuat keputusan berhubung tuntutan hadanah iaitu hak jagaan anak membabitkan pelakon, Hafidz Roshdi terhadap dua anaknya, Humairah dan Umar.

Semasa prosiding lalu, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Hafidz bersama dua saksi sudah memberi keterangan dan memohon kes diteruskan kerana bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri yang berada di Australia, tidak hadir ke mahkamah.

Sebelum ini, pelakon drama 'Tundukkan Playboy Itu' memfailkan tuntutan hadanah selepas lebih setahun tidak bertemu anak-anaknya yang ada bersama bekas isteri.

Hafidz berkahwin dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai pada 27 Julai 2023.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Selain itu, satu lagi kes hiburan yang menarik ialah membabitkan pengesahan lafaz cerai taklik pelakon dan pelawak, Along Cham terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, 33.

Prosiding berkenaan akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dan Afreena hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang untuk pengesahan lafaz cerai secara taklik yang didakwa dibuat pada Januari lalu.

Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya.
Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 yang juga perkahwinan kedua selebriti berkenaan selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan dengan Zila itu, pelawak itu dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.

Selain itu, rayuan berhubung pertikaian tanah Kampung Sungai Baru pula akan didengar pada 3 Oktober depan.

Ia membabitkan isu pengambilan tanah itu membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri yang prosesnya bermula sejak 2016.

Sebelum ini, media melaporkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah itu menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Sebahagian penduduk terutama pemilik rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan pihak berkuasa.

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini ialah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Ringkasan AI

  • Rayuan isu tanah Kampung Sungai Baru akan berlangsung minggu ini
  • Seorang pemuda mengubah pengakuan kepada bersalah atas tuduhan membunuh kekasih hamil
  • Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, diharapkan bayar ganti rugi RM2 juta kepada MonSpace dan pengasasnya
  • Hafidz Roshdi memohon hak jagaan anak di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
  • Along Cham menghadiri proses pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!