Majoriti pesakit kanser dikesan pada tahap 3 dan 4 - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (duduk, kiri) antara 267 peserta Program Bald & Beautiful Day 2025 yang menzahirkan komitmen menyokong perjuangan para pesakit kanser dengan cara membotakkan kepala secara beramai-ramai di Galeri Jualan Elmina Lakeside Mall pada Ahad. Foto Bernama
Dr Dzulkefly (duduk, kiri) antara 267 peserta Program Bald & Beautiful Day 2025 yang menzahirkan komitmen menyokong perjuangan para pesakit kanser dengan cara membotakkan kepala secara beramai-ramai di Galeri Jualan Elmina Lakeside Mall pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Lebih 50,000 kes baharu kanser dilaporkan setiap tahun di Malaysia dengan majoritinya dikesan pada tahap 3 dan 4, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan kebanyakan pesakit hanya mengetahui penyakit yang dihidapi pada peringkat lewat, sekali gus menghadkan pilihan rawatan dan memberi kesan besar kepada emosi serta kewangan keluarga.

Menurutnya, pelbagai program saringan telah dijalankan secara bersama oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi meningkatkan kesedaran.

“Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaksanakan saringan melalui Program Peka B40 dan Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI).

“Matlamat kami adalah untuk mencapai lebih sejuta saringan bagi mengesan penyakit kronik lebih awal,” katanya ketika ditemui pada Program Bald & Beautiful Day 2025 di Lakeside Mall, Elmina pada Ahad.

Tambahnya, usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan saringan kesihatan di peringkat komuniti perlu diperluaskan bagi membolehkan pengesanan awal dilakukan.

Sebelum ini, KKM melaporkan lebih 60 peratus pesakit kanser di negara ini hanya dikesan pada peringkat lewat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan beban terhadap sistem kesihatan negara.

Program Bald & Beautiful Day 2025 merupakan inisiatif kebajikan anjuran Yayasan Khind Starfish bertujuan memberi sokongan moral dan kewangan kepada pesakit kanser.

Dalam majlis itu, Dr Dzulkefly memaklumkan kutipan dana berjaya melepasi sasaran, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM320,000 untuk membantu pesakit yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Program ini bukan sahaja berjaya mengutip dana lebih RM20,000, malah menyaksikan kehadiran 267 peserta. Lebih penting, ia menjadi platform meningkatkan kesedaran serta literasi kesihatan berkaitan penyakit kanser,” katanya.

Ringkasan AI

  • Lebih 50,000 kes baharu kanser dilaporkan setiap tahun di Malaysia dengan majoritinya dikesan pada tahap 3 dan 4
  • Kebanyakan pesakit hanya mengetahui penyakit yang dihidapi pada peringkat lewat
  • Pelbagai program saringan dijalankan bersama oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan NGO lain
  • Matlamat Kementerian Kesihatan adalah untuk mencapai lebih sejuta saringan bagi mengesan penyakit kronik lebih awal
  • Usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan saringan kesihatan perlu diperluaskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!