Aduan banjir kilat di pintu masuk Universiti Malaya palsu

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan berlaku insiden banjir kilat di hadapan pintu masuk Universiti Malaya seperti yang tular menerusi sebuah video di platform TikTok oleh pengguna bernama AnokKelateBarat47.
DBKL dalam kenyataan pada Ahad menegaskan pihaknya kesal dengan penularan maklumat tidak benar itu kerana berpotensi menimbulkan keresahan masyarakat serta mencemarkan usaha berterusan pihak berkuasa bandar dalam memastikan kesejahteraan warga kota.
“Hasil pemeriksaan segera oleh Skuad Penyelamat DBKL mendapati tiada sebarang kejadian banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan. Justeru, aduan tersebut disahkan sebagai tidak benar dan palsu,” menurut kenyataan itu.

DBKL menambah, pihaknya sentiasa bertindak pantas dan teliti dalam memantau keadaan cuaca serta melaksanakan langkah mitigasi banjir di seluruh ibu kota.
“Komitmen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk melindungi keselamatan awam, memperkukuh keyakinan masyarakat dan menjaga imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang terurus,” katanya lagi.
DBKL turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan hanya maklumat benar yang disebarkan, sekali gus mengelakkan kekeliruan serta kegusaran tidak berasas,” tambah kenyataan itu.
Ringkasan AI
- DBKL menafikan dakwaan insiden banjir kilat di Universiti Malaya yang tular di TikTok
- Pihak berkuasa menyesalkan penularan maklumat tidak benar yang mencemarkan usaha mereka
- Skuad Penyelamat DBKL mendapati dakwaan tersebut palsu setelah pemeriksaan
- DBKL berkomitmen melaksanakan langkah mitigasi banjir dan menjaga keselamatan awam
- DBKL menggesa orang ramai untuk memastikan kebenaran maklumat sebelum berkongsi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

