Pejalan kaki golongan berisiko tinggi terlibat kemalangan

SHAH ALAM – Pejalan kaki direkodkan antara pengguna jalan raya berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan selepas penunggang motosikal dan pemandu kereta.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 394 kematian pejalan kaki direkodkan pada 2019, manakala pada 2020 dan 2021 masing-masing mencatatkan 266 kematian, termasuk melibatkan murid sekolah pada waktu puncak.
“Situasi itu membuktikan pelajar sekolah adalah kumpulan yang memerlukan perlindungan sewajarnya ketika menggunakan jalan raya.
“Pejalan kaki merupakan kategori paling terdedah. Oleh itu, program Warden Trafik Sekolah (WTS) diperkenalkan semula untuk memastikan keselamatan murid lebih terjamin ketika melintas jalan di kawasan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Program Rintis Kursus WTS Negeri Selangor 2025 di Dewan Setia, JPJ Selangor, di sini pada Ahad.
Katanya, kursus selama dua hari itu memberi pendedahan kepada warden trafik sekolah mengenai prosedur kawalan lalu lintas yang betul serta latihan amali bagi berdepan situasi sebenar di lapangan.
“Program rintis ini melibatkan 53 warden trafik sekolah daripada 25 syarikat pengawal keselamatan.
“Program ini membabitkan 46 sekolah terpilih di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, Petaling Utama dan Hulu Langat,” katanya.
Menurutnya, WTS menjadi bukti usaha bersama pelbagai pihak untuk melahirkan komuniti yang peka serta membudayakan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan murid.
“Walaupun warden trafik ini telah dilatih, kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pelajar dan pengguna jalan raya amat penting untuk memastikan lalu lintas terkawal dan keselamatan murid terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor atas komitmen menjayakan program ini.
Ringkasan AI
- Pejalan kaki adalah antara pengguna jalan raya berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan
- Pada 2019, 394 kematian pejalan kaki direkodkan merosot kepada 266 pada 2020 dan 2021
- Program Warden Trafik Sekolah diperkenalkan untuk keselamatan murid di kawasan sekolah
- Kursus ini memberi pendedahan dan latihan kepada warden trafik bagi mengendalikan lalu lintas
- Kerjasama semua pihak penting untuk memastikan keselamatan murid di jalan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

