SPRM keluar notis isytihar harta pegawai terbabit sindiket ‘counter setting’

Azam
Azam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai penguat kuasa yang ditahan disyaki terbabit dalam sindiket 'counter setting' di pintu masuk negara akan menerima notis perisytiharan harta.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 susulan rampasan dan sitaan pelbagai aset mewah termasuk emas, wang tunai, kenderaan serta akaun bank.

Beliau berkata, siasatan kini menumpukan kepada usaha mengesan dan merampas aset yang dipercayai diperoleh melalui hasil jenayah selain melengkapkan keterangan untuk tujuan pertuduhan.

"Siasatan masih berjalan bagi melengkapkan keterangan ke arah pertuduhan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Hasil siasatan mendapati selain membuka kedai emas, ada juga pegawai penguat kuasa yang membeli emas serta menggunakan akaun proksi bagi pembayaran dan penyimpanan wang rasuah," katanya pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 617 unit emas, kenderaan mewah, wang tunai dan akaun bank disita dengan nilai keseluruhan melebihi RM9 juta.

Azam berkata, emas yang dirampas termasuk jongkong serta pelbagai barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai, subang dan loket dengan berat keseluruhan dianggarkan 3.35 kilogram bernilai hampir RM2.26 juta.

Jelasnya, SPRM turut menyita 15 kenderaan mewah antaranya Toyota Alphard, Mercedes Benz, BMW dan Audi bernilai hampir RM1.82 juta.

Tambah beliau, sebanyak 126 akaun bank juga dibekukan, melibatkan 82 akaun individu dan 20 akaun syarikat dengan nilai hampir RM4.4 juta manakala sitaan wang tunai pula berjumlah hampir RM800,000.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, SPRM menerusi siri operasi khas di seluruh negara telah menahan seramai 30 individu termasuk 18 pegawai penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.

Turut dirampas melibatkan pelbagai aset termasuk kereta, motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan mewah.

Ringkasan AI

  • Pegawai penguat kuasa yang terbabit dalam sindiket counter setting akan menerima notis perisytiharan harta
  • Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 susulan rampasan aset mewah
  • Siasatan menyasarkan pada usaha merampas aset hasil jenayah dan melengkapkan keterangan untuk pertuduhan
  • Siasatan mendapati pegawai terlibat membuka kedai emas dan menggunakan akaun proksi
  • SPRM menyita 617 unit emas, 15 kenderaan mewah, dan mengbekukan 126 akaun bank

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!