Slovenia isytihar Netanyahu 'persona non grata', larang masuk negara

 Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
A
A
A

LJUBLJAN - Kerajaan Slovenia semalam mengisytiharkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai persona non grata, sekali gus melarang pemimpin rejim zionis itu daripada memasuki negara itu berikutan prosiding jenayah perang yang sedang berjalan terhadapnya di peringkat antarabangsa.

Langkah ini diumumkan Setiausaha Negara Kementerian Luar Slovenia, Neva Grašič, yang berkata bahawa keputusan itu adalah tindak balas terhadap dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyimpulkan bahawa beberapa dasar Israel melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

“Langkah ini bukan ditujukan kepada rakyat Israel, tetapi merupakan mesej jelas kepada kerajaan Israel bahawa Slovenia menjangkakan pematuhan konsisten terhadap keputusan mahkamah antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan,” kata Grašič dalam sidang media di Ljubljana.

Netanyahu menjadi pemimpin ketiga Israel yang diharamkan memasuki Slovenia selepas Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir; dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich turut diisytihar persona non grata pada Julai lalu atas kenyataan yang didakwa menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.

Slovenia, yang merupakan anggota Kesatuan Eropah dan NATO, sebelum ini turut mengenakan embargo senjata terhadap Israel serta melarang import barangan dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap penyelesaian dua negara, Slovenia turut meluluskan sumbangan sebanyak €1.2 juta (RM6 juta) kepada Pihak Berkuasa Palestin bagi menyokong kestabilan pentadbiran dan kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat.

Langkah diplomatik ini dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel, yang kini berdepan pelbagai tindakan sekatan dan gesaan penggantungan daripada badan sukan dan hak asasi manusia global. - Awani

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan Slovenia mengisytiharkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai persona non grata, melarangnya memasuki negara itu berikutan prosiding jenayah perang
  • Langkah ini merupakan tindak balas terhadap dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB yang menyatakan dasar Israel melanggar undang-undang kemanusiaan
  • Tindakan Slovenia bukan ditujukan kepada rakyat Israel tetapi sebagai mesej kepada kerajaan Israel untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa
  • Netanyahu adalah pemimpin ketiga Israel yang diharamkan masuk ke Slovenia, selepas dua menteri lain diisytihar persona non grata atas kenyataan menghasut keganasan terhadap Palestin
  • Slovenia juga mengenakan embargo senjata terhadap Israel, melarang import barangan dari penempatan haram di wilayah Palestin, dan meluluskan sumbangan kepada Pihak Berkuasa Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!