Perpaduan rakyat pacu kejayaan program bertaraf dunia

King Sing dan Ab Rauf (tengah) ketika menghadiri
Hari Persidangan Pelancongan Dunia di sebuah hotel di Banda Hilir pada Ahad.
King Sing dan Ab Rauf (tengah) ketika menghadiri Hari Persidangan Pelancongan Dunia di sebuah hotel di Banda Hilir pada Ahad.
A
A
A

MELAKA – Perpaduan rakyat pelbagai kaum dan generasi menjadi nadi kejayaan Malaysia dalam menganjurkan program bertaraf dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu terbukti apabila Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 menerima penyertaan serta penglibatan rakyat daripada pelbagai peringkat umur yang menjadi tonggak utama kejayaan program berskala besar tersebut.

Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 berlangsung di Melaka
Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 berlangsung di Melaka

Menurutnya, ribuan rakyat yang terdiri daripada sukarelawan, pelajar sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan berganding bahu bagi memastikan program itu berjalan lancar, sekali gus mencatat kehadiran wakil delegasi dari lebih 150 negara.

Katanya, aktiviti berteraskan persembahan kesenian dan kebudayaan yang diadakan sepanjang program itu turut menjadi medan penyatuan dan perpaduan rakyat.

“Seperti program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, semalam seramai 3,000 penari zapin datang menjayakan program tersebut dan kita turut mempamerkannya kepada seluruh dunia.

“Kalau rakyat semua bersatu padu dan mengamalkan perpaduan, memang kita mampu menganjurkan bukan sahaja program tempatan, bahkan program bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Persidangan Pelancongan Dunia di sebuah hotel di Banda Hilir di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pertemuan pakar dan pemimpin industri dari seluruh dunia dalam WTC 2025 membuka peluang baharu untuk memperkukuh komuniti, memelihara warisan serta merancang pembangunan pelancongan yang lestari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, forum antarabangsa itu menjadi wadah penting dalam membincangkan tiga dimensi utama pelancongan global.

“Kita lihat perjalanan program ini amat baik dalam meraikan kepelbagaian seni, budaya serta industri pelancongan, yang boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

Ringkasan AI

  • Perpaduan rakyat pelbagai kaum dan generasi adalah kunci kejayaan Malaysia menganjurkan program bertaraf dunia
  • Majlis Perasmian Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 mencatat kehadiran wakil dari lebih 150 negara
  • Ribuan sukarelawan, pelajar, NGO dan agensi kerajaan berganding bahu memastikan kelancaran program tersebut
  • Aktiviti kesenian dan kebudayaan dalam program tersebut menyatukan rakyat
  • Pertemuan pakar dan pemimpin industri pelancongan dunia membuka peluang baharu untuk pembangunan pelancongan yang lestari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!