Minggu Perpaduan 2025 sedia lebih 35 aktiviti menarik pelbagai kaum

SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 bermula 17 hingga 20 Julai ini di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Lebih menarik, majlis perasmian sambutan program tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Julai ini pada jam 10.30 pagi.
KPN menerusi satu kenyataan berkata, program bertemakan Harmoni Dalam Kepelbagaian itu akan menjadi platform utama untuk memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung dalam pelbagai aktiviti bersifat inklusif.
“Objektif utama penganjuran berkenaan adalah untuk merapatkan jurang perbezaan, memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati yang menjadi asas kekuatan negara.
“Orang ramai dijemput untuk memeriahkan sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh keharmonian nasional,” katanya.
Antara pengisian utama adalah pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Malaysia Tanah Airku, Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Selain itu, turut diadakan Food Unites, Jualan Madani, jualan kraftangan dan produk usahawan tempatan termasuk pesta durian, selain Pesta Buku Pulau Pinang serta wayang pacak.
Di samping itu, kembara ilmu, pertandingan boria terbuka, peragaan busana tradisional, pertandingan tarian etnik sekolah rendah, larian uniti, sukan tradisional dan kejohanan e-sukan juga dianjurkan.
Bagi menambah kemeriahan, persembahan artis ternama tanah air seperti Datuk Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Black Hanifah, Shila Zikir, Suki Low dan persembahan khas kumpulan nasyid Hijjaz serta Inteam.
Persembahan istimewa Muzikal Didi & Friends turut disediakan buat pengunjung cilik, manakala pertandingan seperti Bintang Idol Perpaduan dan Battle of the Band akan memberi ruang kepada bakat baharu.
Dalam pada itu, kementerian turut menyediakan pelbagai perkhidmatan secara terus termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Beberapa pameran agensi kerajaan dan aset keselamatan juga akan diadakan sebagai usaha meningkatkan kefahaman rakyat terhadap fungsi serta peranan agensi-agensi terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

