Masalah brek punca lori rempuh tiga kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang

KAJANG – Masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Sabtu, sehingga meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, sebuah lori dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya.
"Pemandu lori berusia 42 tahun gagal mengawal kenderaan selepas brek tidak berfungsi sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
"Akibat pelanggaran itu, bayi terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Naazron berkata, pemandu lori telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah, dua rekod berkaitan kes dadah serta empat saman lampau," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502," ujarnya.
Ringkasan AI
- Masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang
- Kemalangan membabitkan empat kenderaan dan meragut nyawa bayi lelaki berusia setahun empat bulan
- Pemandu lori, berusia 42 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kerana brek lori tidak berfungsi
- Tujuh mangsa lain cedera disebabkan kemalangan dan kini dirawat di beberapa hospital
- Pemandu lori memiliki dua rekod jenayah, dua rekod berkaitan kes dadah dan empat saman lampau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
