Nahas Plaza Tol Bukit Kajang: Kali terakhir lori diselenggara pada April - Polis

KAJANG - Lori yang merempuh tiga kenderaan dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Sabtu dipercayai diselenggara kali terakhir pada April lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan masih dijalankan sama ada betul berlaku masalah brek melibatkan lori terbabit.
"Semakan mendapati lori dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun diselenggara sekitar bulan April.
"Siasatan masih dijalankan berkaitan masalah brek yang dikatakan menjadi punca kemalangan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di plaza tol berkenaan kira-kira jam 10.50 pagi.
Naazron berkata, ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya.
Beliau berkata, pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas brek tidak berfungsi sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
Akibat pelanggaran itu katanya, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.
Ringkasan AI
- Lori yang terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang diselenggara kali terakhir pada April
- Ketua Polis Daerah Kajang menyatakan siasatan masih dilakukan terhadap masalah brek
- Lori tersebut dipandu oleh lelaki tempatan berusia 42 tahun
- Masalah brek lori dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengakibatkan lori merempuh tiga kenderaan lain
- Seorang bayi meninggal dunia dan tujuh mangsa lain cedera akibat kemalangan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

