Sampan karam: Seorang ditemukan lemas, tiga lagi masih hilang

Seorang daripada empat lelaki yang hilang selepas sampan yang membawa 10 penumpang karam ketika menyeberangi Sungai Krian berhampiran Feri Kaba, Saratok, semalam ditemukan lemas pada Sabtu. Foto hiasan
Seorang daripada empat lelaki yang hilang selepas sampan yang membawa 10 penumpang karam ketika menyeberangi Sungai Krian berhampiran Feri Kaba, Saratok, semalam ditemukan lemas pada Sabtu. Foto hiasan
A
A
A

BETONG - Seorang daripada empat lelaki yang hilang selepas sampan yang membawa 10 penumpang karam ketika menyeberangi Sungai Krian berhampiran Feri Kaba, Saratok, semalam ditemukan lemas pada Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, warga tempatan berusia 25 tahun itu, yang merupakan jurumudi sampan ditemukan kira-kira 91.44 meter dari pengkalan feri oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 9.37 pagi.

"Tiga lagi masih hilang dan semua mereka adalah pekerja warga Indonesia,” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 6.13 petang semalam sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi sejauh 56 kilometer.

Menurut jurucakap itu, kesemua 10 mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat yang sedang dalam perjalanan pulang dari tapak kerja di Jeti Sesang menuju ke Jeti Pusa.

"Sampan yang dinaiki karam di tengah sungai dan enam mangsa warga Indonesia berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebuah tongkang berhampiran sebelum diselamatkan bot lain, manakala empat lagi gagal ditemui,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 7.40 pagi tadi dengan pembukaan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tebingan Feri Kaba serta taklimat bersama agensi berkaitan dan penduduk kampung. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang daripada empat lelaki yang hilang selepas sampan karam di Sungai Krian ditemukan lemas
  • Jurumudi sampan berusia 25 tahun ditemukan 91.44 meter dari pengkalan feri
  • Tiga lagi yang masih hilang adalah pekerja warga Indonesia
  • Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sebelum bergerak ke lokasi
  • Enam mangsa warga Indonesia berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tongkang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!