Belanjawan 2026: Naikkan nilai ambang pendaftaran SST kepada RM3 juta - FMBA

FMBA gesa kerajaan naikkan ambang pendaftaran SST serta had pengecualian cukai perkhidmatan kepada RM3 juta dalam Belanjawan 2026. Gambar kecil: Abdul Malik
FMBA gesa kerajaan naikkan ambang pendaftaran SST serta had pengecualian cukai perkhidmatan kepada RM3 juta dalam Belanjawan 2026. Gambar kecil: Abdul Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menaikkan ambang pendaftaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi sektor penyewaan serta pajakan hartanah daripada RM1 juta kepada RM3 juta perolehan tahunan bagi mencerminkan inflasi dan skala perniagaan semasa.

Gesaan tersebut merupakan antara cadangan tumpuan yang wajar diberikan kerajaan dalam Belanjawan 2026 bagi menyokong kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kos operasi semakin meningkat.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata, kerajaan disaran memberi tumpuan kepada penyusunan semula cukai, transformasi digital, pembangunan modal insan dan penyelarasan dasar dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan perniagaan Malaysia dapat berkembang maju sambil menyokong matlamat sosioekonomi negara.

Menurutnya, had pengecualian cukai perkhidmatan juga perlu ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta bagi mengurangkan tekanan kewangan terhadap PKS yang kini berdepan peningkatan kos hartanah.

“FMBA juga mencadangkan pelaksanaan cukai perkhidmatan berperingkat (4 peratus pada 2026 hingga 8 peratus dalam tempoh 10 tahun) bagi mengelakkan kejutan kos mendadak.

“Cukai perkhidmatan juga perlu dikurangkan kepada 3 peratus untuk restoran bebas di luar kompleks hospitaliti bagi meningkatkan daya saing F&B serta mengawal inflasi harga makanan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam aspek transformasi digital, beliau menegaskan kerajaan perlu mempertimbangkan skim pembiayaan khas dengan proses permohonan yang mudah bagi menyokong peralihan kepada e-invois mandatori PKS.

Menurutnya, kos sebenar untuk naik taraf sistem, latihan kakitangan serta khidmat perundingan pematuhan adalah bercanggah dengan dakwaan kos-neutral.

“Cadangan FMBA sejajar dengan Pelan AI Nasional 2026–2030, termasuk insentif penerapan teknologi untuk PKS, program pembiayaan AI dengan latihan semula tenaga kerja, pelaburan infrastruktur keselamatan siber serta inisiatif ekuiti digital bagi mengelakkan jurang digital yang boleh menjejaskan daya saing serantau Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“FMBA turut mencadangkan pembiayaan bersama kerajaan untuk program latihan yang direka oleh industri dalam kemahiran digital, aplikasi AI dan transformasi organisasi, bagi memastikan latihan relevan serta menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, FMBA turut menyatakan kebimbangan terhadap caruman KWSP mandatori bagi pekerja asing yang akan berkuat kuasa Oktober 2025.

Katanya, kos operasi boleh meningkat sehingga 4 peratus jika majikan menanggung kedua-dua caruman majikan dan pekerja, susulan kemungkinan tentangan pekerja asing sementara, selain ketidaktentuan tentang mekanisme pengeluaran apabila mereka pulang ke negara asal.

“FMBA menyarankan supaya pelaksanaannya ditangguhkan untuk memberi ruang kepada rundingan industri yang menyeluruh serta merangka kerangka kerja yang adil dan praktikal,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, FMBA mencadangkan mekanisme di mana majikan menanggung kos tiket penghantaran pulang pekerja tanpa dokumen sebagai pertukaran kepada proses kelulusan permit pekerja asing baharu yang dipermudah.

“Langkah ini akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, menjana hasil melalui levi pekerja, dan memastikan akses berterusan kepada tenaga kerja asing sah,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa menaikkan ambang pendaftaran SST bagi sektor penyewaan dan pajakan hartanah dari RM1 juta ke RM3 juta
  • Had pengecualian cukai perkhidmatan disarankan untuk ditingkatkan dari RM500,000 ke RM3 juta
  • Cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan berperingkat dari 4% pada 2026 hingga 8% dalam tempoh 10 tahun
  • FMBA mencadangkan kerajaan menyediakan pembiayaan bersama untuk program latihan dalam kemahiran digital dan aplikasi AI
  • FMBA mengutarakan kebimbangan terhadap perlaksanaan caruman KWSP mandatori untuk pekerja asing yang akan berkuat kuasa pada Oktober 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!