Pesara rugi lebih RM221,000 ditipu sindiket panggilan telefon

Seorang pesara pengurus kilang kerugian lebih RM221,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan anggota polis. Gambar hiasan
Seorang pesara pengurus kilang kerugian lebih RM221,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan anggota polis. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN – Seorang pesara pengurus kilang kerugian lebih RM221,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai kakitangan hospital dan anggota polis.

Kejadian bermula pada 23 Mei lalu apabila wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang kononnya kakitangan hospital swasta dan mendakwa dirinya terbabit dalam tuntutan insurans.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan secara panggilan video kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam urusan jual beli akaun bank yang digunakan untuk kegiatan penggubahan wang haram dan pembelian senjata api.

“Mangsa diugut dengan waran tangkap jika gagal memberi kerjasama dan diarahkan menyediakan wang jaminan berjumlah RM378,500,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan simpanannya ke akaun bank sendiri dan menyerahkan maklumat kad bank kononnya bagi tujuan siasatan.

Antara 1 hingga 9 Ogos lalu, mangsa melakukan lima transaksi seperti diarahkan.

“Namun, pada 27 Ogos, semasa membuat semakan baki akaun, mangsa mendapati wang simpanannya telah berkurangan dan hanya berbaki RM109.78.

“Mangsa kemudiannya menyedari ditipu setelah diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM150,000 dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuantan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan panggilan mencurigakan dan membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan sebelum melakukan sebarang pembayaran.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menyemak nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/

 

Ringkasan AI

  • Seorang pesara pengurus kilang kerugian lebih RM221,000 akibat penipuan panggilan telefon
  • Kejadian bermula dengan panggilan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan hospital
  • Panggilan video oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan
  • Mangsa diugut dengan waran tangkap dan diarahkan menyediakan wang jaminan RM378,500
  • Mangsa menyedari ditipu setelah diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM150,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!