Gol awal babak kedua rentap semangat Bangkok United

PENGENDALI Totchtawan Sripan menyifatkan jaringan seawal minit pertama babak kedua sebagai antara punca utama skuad kendaliannya tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bagi merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Menurutnya, jaringan tersebut nyata menyentap semangat kesebelasan pemain Bangkok Angels sehingga gawang mereka dibolosi beberapa kali oleh jentera serangan skuad Harimau Selatan selepas itu.
“Kami mengharungi perlawanan dengan baik, terutamanya bagi tempoh 15 minit pertama di babak pertama dan kami juga memiliki beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol.
“Namun pada babak kedua, gol awal yang dijaringkan oleh JDT ternyata mengejutkan kami.
“Malah, selepas jaringan tersebut, pemain-pemain JDT dilihat mengatur asakan bertali arus ke pintu gol kami sehingga berjaya menambah jaringan,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi berkenaan, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama, namun JDT mula merobek gawang pelawat sebaik babak kedua bersambung menerusi jaringan penyerang import, Bergson Da Silva.
Gol berkenaan kemudiannya menyaksikan seorang lagi penyerang, Joao Figueiredo menjaringkan gol kedua pada minit ke-52, sebelum Bergson meledak dua lagi gol pada minit ke-73 dan masa kecederaan bagi melengkapkan hatrik.
Bangkok United hampir memperoleh jaringan apabila Muhsen Al Ghassani dijatuhkan dalam kotak penalti, namun pengadil perlawanan, Kim Heegon menafikan sepakan penalti tersebut selepas merujuk kepada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Sementara itu, Totchtawan enggan mengulas lanjut berhubung insiden tersebut yang menurutnya berkemungkinan boleh mengubah keputusan perlawanan.
“Saya tidak dapat mengulas mengenai perkara itu,” katanya ringkas.
Ringkasan AI
- Totchtawan Sripan menganggap jaringan awal babak kedua sebagai punca utama kekalahan 0-4 kepada JDT
- Jaringan tersebut melemahkan semangat Bangkok Angels dan memudahkan JDT menambah gol
- Totchtawan menyatakan pasukannya bermain baik di 15 minit pertama dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol
- JDT merobek gawang Bangkok United sebaik sahaja babak kedua dimulakan dengan gol dari Bergson Da Silva
- Insiden penalti yang ditolak oleh VAR membantutkan harapan Bangkok United untuk mendapatkan gol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
