Persidangan, Pameran Haji di Jeddah tawar inovasi dan perkongsian global

JEDDAH bakal menjadi tumpuan dunia Islam pada November apabila Persidangan dan Pameran Haji Tahunan edisi kelima diadakan dari 9 hingga 12 November ini.
Acara anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bersama Program Pengalaman Jemaah itu membawa tema ‘Dari Makkah ke Dunia’.
Portal berita Arab News melaporkan, program yang dinaungi Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu merupakan kesinambungan daripada penganjuran acara tersebut pada tahun lalu.
Edisi keempat lalu yang menarik lebih 120,000 peserta dari seluruh dunia dengan 220 pempamer dari 137 negara dan menghasilkan lebih 670 perjanjian kerjasama.
“Untuk tahun ini, lebih 80 sesi dan 60 bengkel akan diadakan, melibatkan ahli akademik, penyelidik, pejabat perkhidmatan jemaah, wakil diplomatik dan pelatih.
“Selain itu, Yayasan Raja Abdulaziz turut menyumbang secara signifikan menerusi Forum Sejarah Haji dan Dua Masjid Suci yang akan membincangkan aspek sejarah, budaya dan perkembangan kota suci,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web arabnews.com.
Menariknya, forum itu juga akan mempamerkan penggunaan teknologi moden dalam mendokumentasi pengalaman haji melalui platform digital interaktif, sekali gus memberi pemahaman lebih luas tentang ibadah tersebut.
Menurutnya, pameran yang mengiringi persidangan itu meliputi lebih 52,000 meter persegi dengan lebih 260 pempamer.
Zon Inovasi pula menghimpunkan 15 syarikat pemula yang bersaing dalam tiga kategori cabaran untuk menghasilkan penyelesaian perkhidmatan haji yang lebih kreatif.
Semua inisiatif itu selari dengan objektif Program Pengalaman Jemaah dalam Wawasan Saudi 2030, menjadikan haji lebih mudah, tersusun dan lestari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
