Aplikasi Nusuk catat lebih 30 juta muat turun

APLIKASI digital Nusuk yang dibangunkan kerajaan Arab Saudi terus mencatat sambutan luar biasa, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform penting bagi jemaah haji dan umrah.
Menurut laporan portal berita Saudi Gazette, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan, aplikasi itu baru-baru ini dilaporkan telah melepasi 30 juta muat turun dengan lebih 90 peratus penggunanya datang daripada lebih 190 buah negara di seluruh dunia.
“Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding 12 juta muat turun pada tahun 2024.
“Ia sekali gus menegaskan jumlah capaian global dan peranan penting aplikasi ini dalam memudahkan urusan haji, umrah dan ziarah para jemaah,” katanya menerusi laman web berita itu.
Sejak dilancarkan pada 2022, platform Nusuk menawarkan lebih 100 perkhidmatan digital melalui integrasi bersama agensi berkaitan haji dan umrah.
Perkhidmatan itu antara lain termasuklah tempahan umrah, pendaftaran ke Ar-Raudah Asy-Syarif di Masjid Nabawi, tiket kereta api laju Haramain, penerbangan, penginapan dan lawatan.
Di samping itu, Nusuk turut dilengkapi kemudahan harian yang bermanfaat untuk jemaah seperti akses al-Quran digital, doa, waktu solat dan arah kiblat, sekali gus menjadi peneman setia sepanjang jemaah berada di Tanah Suci.
Dalam pada itu, kementerian tersebut turut mengesahkan bahawa pihaknya akan melakukan satu kemas kini besar yang bakal dilancarkan tidak lama lagi bagi menyediakan pengalaman lebih lancar dan mesra pengguna.
“Ia selaras dengan matlamat berterusan aplikasi ini untuk menjadi platform digital Islam terkemuka dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
