Pemandu treler penyebab kematian pelajar kolej digantung lesen

Mohammad Khairuddin (kanan) dikawal polis ketika keluar dari lokap mahkamah. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
Mohammad Khairuddin (kanan) dikawal polis ketika keluar dari lokap mahkamah. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK – Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menggantung lesen seorang pemandu treler selepas didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang penuntut kolej, Ahad lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret, Amin Rashidi Ramli terhadap tertuduh, Mohammad Khairuddin Ab Razab, 41.

Tertuduh dalam pada itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu treler pengangkut kenderaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Yamaha Y15, Norkhairi Amirul Sabri, 20.

Kejadian berlaku di Jalan Kampung Jembal Tawang berhadapan Jembal Maju Trading pada jam 9.07 malam, 21 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid menawarkan jaminan sebanyak RM7,000, namun peguam bela, Latifah Ariffin memohon jumlah yang lebih rendah terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga yang mempunyai tiga anak.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 November ini. Tertuduh kemudian menjelaskan jaminan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam kemalangan itu, mangsa yang baru seminggu tamat latihan praktikal di sebuah syarikat kejuruteraan di Terengganu meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah treler yang sedang diundur dan melintangi jalan.

Ringkasan AI

  • Mahkamah Majistret Bachok menggantung lesen pemandu treler Mohammad Khairuddin Ab Razab kerana memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penuntut kolej
  • Tertuduh, berumur 41 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu berbahaya
  • Kejadian berlaku pada 21 September lalu di Jalan Kampung Jembal Tawang, menyebabkan kematian Norkhairi Amirul Sabri, 20, penunggang motosikal Yamaha Y15
  • Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang dituduhkan ke atas tertuduh, memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000
  • Jaminan RM5,000 dibenarkan oleh mahkamah dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!