Pelajar kolej maut dalam nahas motosikal, tiga lori

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit nahas dengan lori di Taman Tas, Kuantan pada Khamis.
Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit nahas dengan lori di Taman Tas, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pelajar sebuah kolej di sini maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dan tiga lori di Taman Tas pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Hadif Ishak, 18, pelajar UCYP Semambu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pemandu lori ais berusia 33 tahun cedera di tangan manakala pemandu lori simen dan lori tunda masing-masing berusia 25 dan 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lori simen dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Bandar Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori yang berada di lorong kiri telah bergesel dengan motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa menyebabkan pelajar itu terjatuh ke lorong kanan.

"Lori tunda yang berada di lorong kanan gagal mengelak lalu melanggar mangsa," katanya.

Ashari berkata, lori ais yang datang dari arah belakang tidak sempat membrek lalu melanggar bahagian belakang lori tunda tersebut.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Jenazahnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemandu lori yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Kemalangan yang mengorbankan nyawa penunggang motosikal itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ringkasan AI

  • Pelajar kolej maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dan tiga lori di Taman Tas, Kuantan
  • Muhammad Hadif Ishak, 18, pelajar UCYP Semambu meninggal dunia di tempat kejadian
  • Pemandu lori ais cedera, manakala pemandu dua lori lain tidak mengalami kecederaan
  • Kemalangan berlaku ketika lori simen bergesel dengan motosikal mangsa yang menyebabkan mangsa terjatuh
  • Kemalangan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!