Pelancong Malaysia jadi mangsa ragut di Hatyai

Rakaman CCTV menunjukkan suspek meragut rantai emas berkenaan. Foto Agensi
Rakaman CCTV menunjukkan suspek meragut rantai emas berkenaan. Foto Agensi
A
A
A

HATYAI – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas meragut rantai emas milik pelancong Malaysia dalam kejadian di persimpangan Jalan Thung Sao, Hat Yai, wilayah Songkhla pada 9 Ogos lalu.

Suspek, Sakrin Kae Chayapan, 25, ditahan di rumah ibunya di daerah Thung Wa, Satun pada 24 September setelah polis mengesan pergerakannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Hatyai, Kolonel Thammarat Phetnongchum berkata, siasatan mendapati suspek menunggang motosikal seorang diri sebelum menghampiri sebuah kenderaan awam yang dinaiki mangsa dan menarik rantai emas dari leher mangsa sebelum melarikan diri.

“Selepas mendapat waran tangkap daripada Mahkamah Wilayah Songkhla, anggota kami berjaya menahan suspek ketika berada di kediaman ibunya. Suspek kemudian mengaku melakukan jenayah berkenaan,” katanya pada Rabu.

Menurutnya, suspek mendakwa dia terdesak kerana menganggur lebih sebulan dan menjual rantai emas itu, dipercayai emas Malaysia, dengan harga lebih 20,000 baht (RM26,460) bagi melangsaikan hutang motosikal dan membayar sewa rumah.

“Suspek menafikan wang hasil jualan digunakan untuk berjudi dan mendakwa keluarganya tidak mengetahui mengenai kejadian itu,” katanya lagi.

Kes tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong mengenai aspek keselamatan di Hatyai, yang merupakan destinasi popular bagi pengunjung dari Malaysia.

Suspek kini direman dan bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah peruntukan undang-undang Thailand.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dipenjara kerana meragut rantai emas pelancong Malaysia di Hat Yai
  • Polis menangkap Sakrin Kae Chayapan di rumah ibunya melalui bukti CCTV
  • Suspek menghampiri mangsa dengan motosikal dan merampas rantai emasnya
  • Sakrin mengaku jual rantai itu untuk bayar hutang motosikal dan sewa rumah
  • Kes ini meningkatkan kebimbangan tentang keselamatan di Hatyai, destinasi popular pengunjung Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!